Naib Canselornya Prof Dr Zaliman Sauli berkata Unimap mengorak langkah dengan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama sebuah syarikat iaitu MyUS Hemphouse Sdn Bhd yang berpusat di Kuala Lumpur bagi melakukan kajian terhadap produk tersebut.
Ganja perubatan: KKM belum pernah buat kajian makmal
Kementerian Kesihatan belum pernah menjalankan kajian makmal terhadap ganja perubatan, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
"Bagi marijuana pula, tiada kajian makmal yang sedang atau pernah dijalankan oleh pihak KKM," katanya pada jawapan bertulis terhadap pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri kesihatan itu menjawab soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar yang bertanya senarai dan butiran terperinci kajian perubatan yang sedang dijalankan KKM terhadap penggunaan ganja perubatan.
Pun begitu, Khairy berkata satu penelitian tinjauan terhadap kajian spesis ganja, jenis Cannabis sativa (selalu dirujuk sebagai hem) pernah dilakukan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM.
"Satu kajian scoping review ke atas hem pernah dijalankan oleh pihak IMR dan satu jurnal telah diterbitkan iaitu “Cannabis sativa subsp. sativa’s pharmacological properties and health effects: A scoping review of current evidence,” katanya lagi.
Kajian IMR itu menganalisa penerbitan artikel mengenai hem dari 2009 ke 2019 yang menyelidik 65 artikel utama (18 ujian klinikal, 47 praklinikal).
Pada 9 Nov lalu, Khairy berkata undang-undang negara sedia ada tidak menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan, jika mematuhi beberapa peraturan.
Menurut Khairy, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 tidak melarang penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.
Bagaimanapun, produk yang mengandungi ganja perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) seperti yang ditetapkan oleh Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 bawah Akta Jualan Dadah, kata Khairy.
Dalam perkembangan berkaitan, penyelidik sains neuro Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad Aris Mohd Moklas menyimpulkan hasil kajiannya pada 2019 menunjukkan penggunaan ganja memiliki potensi untuk mengubati penyakit berkaitan dengan kemerosotan fungsi otak, seperti Alzheimer.
Kajian terbaru Dr Mohamad Aris yang didedahkan Sept lalu, terhadap tikus makmal yang dihidapi dengan Alzheimer pula menunjukkan respon positif apabila diberikan bahan aktif ganja.
Terdahulu, terdapat gesaan supaya kerajaan meminda undang-undang sedia ada untuk mencerminkan kenyataan menteri kesihatan bahawa produk mengandungi ganja bagi tujuan perubatan boleh diimport serta digunakan di Malaysia.
Peguam hak asasi manusia Samantha Chong berkata kes jenayah yang belum selesai melibatkan ganja perubatan juga mesti dikaji semula.
"Terutama mereka yang berdepan hukuman mati atas tuduhan mengedar dadah," kata Chong.
Satu kes berprofil tinggi melibatkan pesara kapten angkatan tentera Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, lebih dikenali sebagai 'Dr Ganja', yang masih berdepan hukuman mati.
Amiruddin telah ditahan sejak pertama kali didakwa pada Mei 2017. Dia menghadapi 33 pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas polis dilaporkan menemui sejumlah besar ganja yang digunakan untuk tujuan perubatan di rumahnya di Kampung Delek Dalam, Klang, Selangor.
Satu kes ketara lain, Muhammad Lukman Mohamad dijatuhi hukuman mati pada 30 Ogos 2018, di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 3.1 liter minyak kanabis, 279gm ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocannabinol (THC).
Bagaimanapun, awal tahun ini, pada 17 Feb, Lukman dibebaskan apabila panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan atas dua pertuduhan mengedar dadah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai