Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP Batu: Umur bukan penghalang untuk berkhidmat

PRN MELAKA | Umur bukanlah penghalang untuk berkhidmat setelah landskap politik negara kini sudah berubah, kata Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.

Menurutnya, pencalonan Farzana Hayani yang berusia 21 tahun di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di DUN Sungai Rambai sebagai bukti anak muda memilih untuk terlibat dalam bidang politik.

"Jika umur 18 tahun pun dibenarkan berkahwin dan menggalas tanggungjawab seorang isteri tak akan pula umur 21 tahun tak boleh menjadi seorang pemimpin?

"Umur bukanlah penghalang untuk berkhidmat yang penting hati dan tujuan untuk mengemudi negara ke arah yang lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Prabakaran yang juga ahli parlimen termuda dalam sejarah negara berkata bahawa sama seperti Farzana, dia turut menerima pelbagai reaksi ketika bertanding pada PRU-14 yang lalu.

"Semenjak pencalonan saudari Farzana Hayani sebagai calon Sungai Rambai pelbagai reaksi yang dapat kita lihat hanya kerana beliau baru sahaja berumur 21 tahun.

"Saya juga berusia 22 tahun ketika memenangi kerusi Parlimen Batu. Saya melalui hal yang sama diperkecilkan hanya kerana saya 'budak mentah'. Namun, akhirnya kemenangan berpihak pada saya," katanya.

Tambahnya, kancah politik kita juga sudah berbeza berbanding 20 tahun yang lalu.

"PRU 14 adalah bukti di mana rakyat Malaysia mendambakan perubahan dan ingin melihat tampuk pemerintahan yang lalu apabila mengundi PH buat pertama kali dalam sejarah negara.

"Apabila orang muda memilih untuk bertanding dalam pilihan raya ini menunjukkan mereka sudah muak dengan politik lama yang kotor, berebut kuasa, memikirkan poket sendiri tanpa memikirkan rakyat bawahan.

"Mereka juga muak dengan muka sama yang mentadbir negara hingga terpaksa menggadaikan masa depan mereka," katanya.

Farzana, 21 atau lebih dikenali sebagai Nana kini mengikuti pengajian peringkat ijazah jurusan komunikasi dan media (penyiaran) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Dia menjadi pertaruhan PH untuk merebut kerusi DUN Sungai Rambai. Selain Farzana, DUN itu turut ditandingi Muhammad Jefri Safry dari Bersatu yang mewakili PN, Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis (Umno-BN).

Untuk rekod daripada 28 calon di PH untuk PRN kali ini, kira-kira 40 peratus daripadanya berusia 40 tahun atau ke bawah.