SOP ketat: Lebih baik bertepuk tampar di rumah saja, kata Mohamad
PRN MELAKA | Umno menganggap syarat ketat yang terkandung dalam prosedur operasi standard (SOP) untuk PRN ini sebagai amat melampau dan seakan-akan mengikat pihak yang terlibat.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata dengan kekangan yang pelbagai itu kegiatan meraih undi terhalang.
"Lebih baik kita tak payah ada pilihan raya. (Walkabout) dari rumah ke rumah tak boleh, itu tak boleh, semua tak boleh.
"Lebih baik kita main bertepuk bertampar kat rumah saja," katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto BN di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Terdahulu Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno Malaysia berkata SOP ketat itu begitu membataskan gerak kerja jentera untuk melakukan aktiviti kempen yang dibenarkan.
Selain Mohamad terdapat beberapa pemimpin politik dari pelbagai parti yang menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung SOP kempen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut SOP itu sebarang ceramah, syarahan atau kegiatan kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan di sepanjang tempoh PRN Melaka sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.
Mohamad berkata dia mendapat laporan daripada jentera BN bahawa mereka tidak dibenarkan melakukan aktiviti kempen seperti memasang bendera dan berada di bilik gerakan di pusat daerah mengundi.
"Di situlah orang akan berkumpul bermesyuarat setiap pagi untuk memberikan maklum balas ke pusat kawalan di sini.
"Jadi saya harap SPR memikirkan semula dan tak usah overzealous (melampau) sangat sampai ada yang ambil kad pengenalan, mengugut macam-macam," katanya.
Tambah Mohamad susulan tindakan sedemikian, jentera BN di Melaka menjadi trauma untuk menggerakkan aktiviti berkempen.
"Itu sebabnya kita lihat tak banyak bendera BN yang dinaikkan, poster-poster (juga) kerana masing-masing dah takut nak keluar," katanya.
Meskipun faham bahawa langkah kerajaan dalam menetapkan SOP yang ketat untuk mengekang jangkitan Covid-19, Mohamad menyifatkan situasi tersebut amat menyedihkan.
"Kita nak mengamalkan dan meraikan amalan demokrasi di negara ini," katanya.
Pada masa sama, dia turut meminta SPR dan kementerian-kementerian berkenaan untuk mempertimbangkan kelonggaran SOP untuk berkempen.
"Saya minta berikan kelonggaran sikit ya, kerana ia tak memeriahkan pilihan raya. Kita faham kekangan yang dihadapi oleh kerajaan.
"Jadi saya harap supaya fikrkanlah baik-baik SPR dan pihak-pihak kementerian yang lain fikir elok-elok supaya kita mencapai satu keadaan yang kita tak mengekang aktiviti untuk bergerak pilihan raya ini tapi dalam masa yang sama jangkitan Covid-19 ni ditangani dengan baik," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai