Adly kata peluang terakhir rakyat Melaka pada 20 Nov
PRN MELAKA | Pakatan Harapan (PH) Melaka akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Pengerusinya Adly Zahari untuk membatalkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 Nov.
Adly dalam satu kenyataan berkata PH Melaka turut akur dengan keputusan tersebut dan merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan peguam atas usaha yang dilakukan mereka bagi mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Okt lepas.
"Sehubungan itu, peluang terakhir rakyat Melaka adalah melalui PRN yang akan berlangsung pada 20 Nov 2021.
"Saya merayu kepada semua rakyat untuk turun mengundi bagi memastikan demokrasi dan hak rakyat dalam menentukan kepimpinan negeri ini terus terpelihara," katanya.
Pada 22 Okt lepas, Adly, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka menfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memohon supaya PRN yang dijadualkan pada 20 Nov ini dibatalkan dengan serta-merta.
Adly yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman itu juga menuntut deklarasi bahawa pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Okt lepas adalah tidak sah dan terbatal.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov susulan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai