Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'DAP tak boleh selamanya harapkan bantuan PH untuk undi Melayu'

PRN MELAKA | DAP tidak boleh selamanya cuma bergantung kepada rakan mereka dalam Pakatan Harapan (PH) untuk memikat pengundi Melayu, kata Tey Kok Kiew.

Atas sebab itulah, kata Pengerusi DAP Melaka berkenaan, dia menawarkan diri untuk bertanding ke kerusi DUN Bemban yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

"DAP tidak boleh terus berada di kawasan bandar saja, kita perlu meluaskan pengaruh.

"Sebagai pengerusi DAP negeri, saya perlu memimpin melalui teladan dengan pergi ke kawasan yang lebih jauh dari bandar, mengenali kehidupan kaum lain dan memberi mereka peluang untuk kenali kami.

"Dengan itu barulah DAP boleh pergi jauh. DAP tidak boleh bergantung kepada parti rakan PH untuk mendapatkan sokongan orang Melayu," katanya

Tambah bekas exco Melaka semasa PH menjadi kerajaan itu juga yakin usaha menarik sokongan orang Melayu kepada DAP melalui bantuan parti lain hanya berkesan untuk jangka pendek.

Namun katanya untuk jangka panjang DAP perlu melakukannya sendiri agar lebih ramai Melayu memahami perjuangan dan idealisme yang dibawa parti berkenaan.

"Saya percaya dengan cara itu barulah lebih ramai orang Melayu akan menyokong DAP," katanya.

Memang besar di Bandar Hilir

DAP sejak sekian lama bergelut dengan masalah imej khususnya dalam kalangan prang Melayu selepas parti itu terus-terusan dilabel sebagai memusuhi Islam dan Melayu oleh musuh politiknya.

Usaha mengatasi persepsi itu kemudian digerakkan dengan giat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Antaranya DAP meletakkan lebih ramai pemimpin Melayu dalam kepimpinan parti khususnya di peringkat pertengahan.

Pada masa sama parti itu masih banyak bergantung kepada rakan sekutunya dalam PH untuk memenangi undi Melayu.

Tey berkata sebagai pengerusi DAP Melaka, dia lebih dikenali, justeru menjadi tanggungjawabnya untuk bertanding di kerusi yang lebih berisiko.

Untuk rekod pada pilihan raya lalu - yang diadakan serentak dengan PRU ke-14 - Tey bertanding di Bandar Hilir dan memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 14,038 undi.

Ia merupakan 67 peratus daripada undi yang ada berbanding calon lain, Shaun Lee Chong Leng (BN) yang mendapat 2,725 undi dan Chin Choong Seong (bebas) yang hanya memperoleh 141 undi.

Tek dibezakan dengan 11,313 undi daripada Lee yang menjadi pencabar terdekatnya.

"Kami berasakan ada keperluan strategik. Saya sendiri merasakan keperluan itu.

"Seperti yang saya katakan, untuk menjadi kerajaan kami perlukan 15 kerusi termasuk DUN Bemban," katanya.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Strategi meletakkan pemimpin kanan di kawasan berisiko tinggi digunakan oleh pemimpin pusat DAP sejak sekian lama terutamanya melibatkan veterannya Lim Kit Siang.

Lim - yang bermula sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka (dahulunya Bandar Melaka) - berpindah ke Pulau Pinang pada 1980-an dan 1990-an untuk meluaskan pengaruh parti itu di sana.

Mungkin tak ramai keluar

Hanya selepas beberapa kali mencuba barulah DAP dapat menguasai negeri berkenaan dan kini ia dianggap sebagai kubu kuat parti tersebut.

Lim yang pernah menjadi ahli parlimen Ipoh Timur antara 2004 dan 2013 dalam usaha untuk memenangi Perak, kini mewakili kerusi parlimen Iskandar Puteri di di Johor.

Beberapa pemimpin tertinggi DAP juga turut mengikuti jejak langkahnya, namun tidak semua yang benar-benar berjaya.

Misalnya, tindakan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong yang mencabar Presiden MCA Wee Ka Siong di Ayer Hitam dan tewas walaupun dengan majoriti tipis, 303 undi, pada 2018.

Bagaimanapun, Tey berkata dia bersedia menghadapi risiko itu.

"Saya perlu berterus terang - jika DAP takut kalah, maka itu bukan wakil rakyat DAP.

"Daripada meletakkan orang baru ke tempat berbahaya, kenapa tidak kita beri peluang dan platform kepada orang baru (untuk bertanding kerusi selamat)?" katanya.

Leng Chau Yen

Setiausaha politik Tey, Leng Chau Yen, 37, akan bertanding di kerusi yang dilepaskan Tey iaitu Bandar Hilir.

Kali ini di DUN Bemban, Tey akan menentang, Koh Chin Han dari BN, Mohd Yadzil Yaakub (PN) dan dua calon bebas iaitu Azmi Kamis dan Ng Choon Koon.

Pada 2018, DAP memenangi kerusi DUN Bemban tetapi hanya dengan 45.4 peratus undi dalam pertembungan tiga penjuru.

Bagaimanapun, dengan kekecewaan pengundi dan kemungkinan peratusan keluar mengundi yang rendah akibat pandemik Covid-19, Tey menghadapi cabaran yang sukar.

Dalam temu bual itu, Tey juga mengulangi sokongan DAP agar Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, sekali lagi menjadi calon ketua menteri jika gabungan itu mendapat kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov.