Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tuan Ibrahim nafi Malaysia 'pesong' data pelepasan karbon

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan mekanisme pelaporan pelepasan gas rumah hijau Malaysia.

Ini selepas negara dituduh melaporkan pelepasan gas yang kurang daripada jumlah sebenarnya kepada PBB.

Tuan Ibrahim mengulas laporan penyiasatan oleh The Washington Post yang mengatakan "data terpesong" telah membolehkan Malaysia menggambarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak "73 peratus."

Akhbar AS itu juga mempertikaikan dakwaan Malaysia pokok-pokok di negara ini menyerap karbon pada kadar "empat kali lebih cepat" berbanding hutan di Indonesia.

Menurut artikel itu, dakwaan ini menyebabkan Malaysia melaporkan 81 juta tan pelepasan gas rumah hijau kepada PBB pada 2016 walaupun mengeluarkan 422 juta tan pada tahun itu.

Malaysia digunakan sebagai contoh berapa banyak negara yang kurang melaporkan pelepasan gas rumah hijau kepada PBB.

Mengulas dakwaan itu, Tuan Ibrahim mempertahankan laporan Putrajaya kepada Sidang Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) itu.

Tuan Ibrahim melalui kenyataan tiga muka surat semalam berkata laporan kerajaan itu dihasilkan melalui "proses yang sangat ketat" selaras dengan semua syarat-syarat UNFCCC.

Proses ini termasuk "perundingan pelbagai pihak berkepentingan" bersama pakar, ahli akademik, NGO, sektor swasta dan penyedia data.

"Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) mahu menegaskan bahawa pelaporan Biennial Update Report (BUR) yang dikehendaki oleh UNFCCC telah dijalankan mengikut proses, garis panduan dan maklumat yang teliti," katanya.

Menjelaskan lanjut, Tuan Ibrahim berkata pakar yang dilantik UNFCCC sedang meneliti laporan Malaysia.

“Di bawah proses UNFCCC BUR, Malaysia telah menjalani tiga sesi Perundingan dan Analisis Antarabangsa dan dua sesi Perkongsian Pandangan Fasilitatif setakat ini.

“Seluruh proses itu berdasarkan prinsip ketelusan, ketepatan, konsisten, kebolehbandingan dan lengkap.

“Oleh itu, Malaysia kesal dengan tindakan The Washington Post mempersoalkan integriti proses dan hasil UNFCCC,” kata menteri itu.

Pun begitu, Artikel Washington Post yang bertajuk, "Countries Pledges Built on Flawed Data, Post Investigation Finds" itu terbit pada 7 November lalu menyoal integriti data negara dan bukannya proses pelaporan UNFCC.

Tuan Ibrahim kini sedang berada di Glasgow, United Kingdom bagi menghadiri Persidangan PBB Mengenai Perubahan Iklim (COP26).