Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Bermuktamar di Klinik Leong

ULASAN | Sejak 2015 saya tidak pernah gagal untuk hadir ke muktamar PAS dan melihat sendiri wajah-wajah pemimpin parti itu dari dekat. Tetapi untuk kali ini - muktamar yang berakhir Ahad lalu - penganjur tidak membenarkan kehadiran saya.

Namun selaku wartawan yang sudah ditugaskan, tetaplah saya mengikuti muktamar itu secara maya dan memerhati apa yang berlaku seadanya. Terima kasih juga kepada kawan-kawan media yang turut membantu berkongsi maklumat dari semasa ke semasa.

Demikianlah solidariti sesama rakan media yang turut berkongsi rasa dan ia pastinya amat dihargai.

Kerana tugas saya tetap ke Kuala Terengganu, namun tidaklah sehingga hadir secara fizikal di Duyong Marina Resort yakni lokasi berlangsungnya mesyuarat tahunan PAS itu.

Memilih kekal tenang di tepian pantai Batu Burok dan bersahabat dengan teman-teman yang baik budi pekerti, saya lalu 'bersuluk' di 'Klinik Leong'.

Ia dikatakan tempat kegemaran teman-teman yang disukai para 'ayatullohnya' bertamu dan bersilaturrahim sambil menikmati apa yang ada di persekitaran premis itu.

Pada sisi tertentu Klinik Leong menawarkan khidmat menangani masalah hati dan perasaan. Antara kepakaran mereka misalnya ialah merawat masalah sakit hati, gagal dalam bercinta, dan mempelajari hal-hal membentuk keikhlasan kepada sekalian alam.

Demi kuasa dalam negara

Ada juga pengunjung datang ke Klinik Leong itu membawa bersama masalah kecelaruan jiwa lalu mereka merapikan rambut sendiri untuk meredakan perasaan.

Di sisinya ada sebuah kafe hipster dengan dekorasinya tebal dengan sentuhan seni. Juga ada ada pantai cantik dengan panorama matahari naik, ada gelanggang bola tampar pantai, dan hal-hal lain yang sederhana namun indah.

Nescaya hilanglah sedikit sebanyak rasa terkilan di hati apabila dimaklumkan Malaysiakini tidak dibenarkan hadir ke lokasi muktamar, sedangkan ketika diberitahu oleh Encik Idris selaku wakil penganjur bahawa ada halangan, saya sudah hampir benar tiba di Kuala Terengganu.

Ia berlaku sehari sebelum bermulanya pemilihan barisan pemimpin PAS.

Justeru sepanjang Muktamar PAS ke-67 itu berlangsung saya pula 'bermuktamar' di Klinik Leong. Dan seperti biasa perjalanan perhimpunan manusia politik itu kelihatan berjalan lancar, barangkali seperti dimahukan mereka.

Demikianlah politik. Tidak hanya dalam PAS, mana-mana parti sekali pun akan berasa mereka sentiasa berada di pihak yang betul dan pasti melakukan perkara-perkara yang betul.

Justeru apa sahaja yang dilakukan pihak lawan atau musuh politik mereka, akan diselak serta diteliti segala cacat cela selayak yang boleh.

Itulah kerja politik iaitu untuk mempengaruhi orang ramai dengan persekitaran seluas yang mungkin demi kuasa untuk membuat dasar-dasar negara, atau paling tidak, untuk menjadi suara bagi sesebuah kawasan yang diwakili.

Politik, selain bermaksud ilmu pemerintahan, siasah, dan hal-hal kenegaraan, Kamus Dewan juga memberi makna sebagai kelicikan, muslihat atau tipu muslihat.

Sayangnya mereka yang terjebak dalam politik kepartian secara langsung hingga menyebabkan dihinggapi penyakit tertentu tidak dapat diterima untuk disantuni di Klinik Leong.

Pastinya para perawat yang berlegar di sekitar pantai Batu Burok itu tidak berminat membekalkan ubat-ubatan berbentuk kuasa, kekayaan, kereta mewah, wanita indah atau pengaruh besar.

Baik, kembali kepada pengamatan saya sepanjang membuat liputan Muktamar PAS ke-67.

Kopi dan merakam gambar

Kali ini dengan perwakilan dan ucapan-ucapan yang terhad, mesyuarat tahunan parti itu tidak begitu menghentam musuh-musuh politik berbanding selalu.

Tidak banyak ratiban nama parti-parti musuh terpacul keluar dengan fasih dari lidah para perwakilan atau pimpinan-pimpinan kanan PAS.

Sebaliknya mereka lebih konsisten bercakap mengenai hal-hal untuk memperkemas gerakan parti, kerja dakwah, menegaskan pasakan walak, sesekali berpantun lalu mengumumkan sumbangan derma.

Senario itu mungkin memberi gambaran bahawa PAS semakin kurang musuh politiknya, di samping mengambil sikap lebih baik mempedulikan hal-hal sendiri berbanding meratib nama parti yang mereka benci.

Itu sedikit sebanyak apa yang saya perhatikan secara maya sepanjang muktamar kali ini berlangsung sambil melayan rasa kagum terhadap kesibukan lorong menuju Klinik Leong dipenuhi kenderaan keluar dan masuk membeli kopi, atau sekadar bersiar-siar sambil mengambil gambar.

Sekali-sekala mereka yang datang membeli kopi akan bertanya, Klinik Leong itu tempat apa? Selepas dimaklumkan kebanyakan mereka akan membalas dengan berkata "menarik" atau memujinya sebagai suatu kerja kreatif.

Justeru, jika anda penggemar kopi yang berada di sekitar Kuala Terengganu, hanya taiplah OutSide pada aplikasi penunjuk jalan, kalian akan ditemukan dengan Klinik Leong, iaitu sebuah papan tanda lama di Rumoh Kayu (bed and breakfast).


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang menggemari setiap tindak-tanduk politik PAS, selain turut asyik memerhati seni dan corak kopiah dipakai pemimpinnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.