Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pak Wan yakin PN tawan 3 dari 5 kerusi bawah Alor Gajah

PRN MELAKA | Bekas menteri tugas-tugas khas, Mohd Redzuan Md Yusof, yakin Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi tiga daripada lima kerusi dewan undangan negeri di bawah Parlimen Alor Gajah.

Katanya tiga kerusi yang bakal dikuasai Bersatu dan PN itu ialah Machap Jaya, Asahan dan Rembia.

Mohd Redzuan yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu membuat ramalan tersebut atas kapasitinya sebagai orang yang bertanggungjawab di kawasan Alor Gajah.

"Saya fokus sebagai seorang yang bertanggungjawab untuk parlimen di Alor Gajah secara spesifik yakin terhadap kemenangan di tiga DUN.

"Terpulang pada hari mengundi tu sendiri berapa ramai yang keluar," katanya pada sidang media di bilik gerakan parlimen Alor Gajah, Melaka hari ini.

DUN Machap Jaya menyaksikan pertandingan lima penjuru di antara Ngwe Hee Sem (MCA-BN), Law Bing Haw (PKR-PH), Tai Siong Jiul (Bersatu-PN) dan dua calon bebas Abdul Aziz Osani Kasim serta Azlan Daud.

Sementara itu di DUN Asahan berlaku pertembungan enam penjuru iaitu Fairul Nizam Roslan (Umno-BN), B Dhanesh (Gerakan-PN), bekas ketua menteri Idris Haron (PKR-PH) dan tiga calon bebas iaitu Mohd Noor Salleh, Azmar Ab Hamid dan Mohd Akhir Ayob (Bebas).

DUN Rembia pula menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan Zamri Pakiri (PKR-PH), Muhammad Jailani Khamis (Umno-BN) Zamzuri Arifin (Bersatu-PN) dan dua lagi calon bebas K Murali sertas Sabarudin Kudus.

Dua lagi DUN di bawah Alor Gajah ialah Gadek dan Durian Tunggal.

Kata Mohd Redzuan keyakinan itu dibuat berdasarkan kepada kemenangan tipis pada PRU lalu.

"Kalau kita kerjasama dalam gerak kerja negeri, ia boleh beri kemenangan besar kepada PN," katanya.

Bagaimanapun dia tidak memberi jaminan bahawa kemenangan tersebut dapat memberi peluang PN menubuhkan kerajaan di Melaka.