Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Larangan pemeriksaan haid bagus, tapi perlu perincian - SIS

Sisters In Islam (SIS) hari ini mempersoalkan sama ada pekeliling Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengenai larangan pemeriksaan haid di sekolah akan terpakai kepada institusi lain di luar bidang kuasanya.

Meski mengalu-alukan arahan kementerian yang dikeluarkan melalui pekeliling bertarikh 2 Nov, SIS menyatakan terdapat beberapa perkara yang memerlukan penjelasan.

"Walaupun pekeliling itu menunjukkan kemajuan dalam melarang pemeriksaan haid, bagaimanapun, terdapat beberapa butiran yang tidak jelas.

“Sebagai contoh, adakah pekeliling itu termasuk institusi pendidikan swasta dan institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri dan badan kerajaan lain seperti sekolah agama dan sekolah tahfiz?” kata kumpulan hak asasi wanita itu dalam satu kenyataan.

“Apakah garis panduan sekiranya pemeriksaan haid masih dijalankan di institusi pendidikan?

"Adakah pelajar boleh melaporkan kepada sekolah, pengetua atau melaporkan terus kepada polis?" kata SIS yang menyamakan amalan itu sebagai gangguan seksual dan serangan fizikal.

Kumpulan itu berkata turut tidak disebut tindakan yang perlu diambil terhadap individu yang menjalankan pemeriksaan haid, serta sebarang sokongan kaunseling untuk pelajar yang terjejas.

SIS menjawab laporan Malaysiakini yang memetik sumber yang mengesahkan pekeliling daripada Ketua Pengarah Pendidikan kepada semua ketua jabatan pendidikan negeri, menyatakan, "KPM memandang serius perkara ini dan menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku."

“Tanpa langkah yang lebih spesifik dan terperinci, masih perlu dilihat sama ada pekeliling itu mencukupi untuk menamatkan amalan ini terutama di institusi yang bukan di bawah KPM,” kata SIS.

Selanjutnya, SIS menggesa institusi pendidikan lain yang bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan yang diperlukan dan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan.

Sumber dari jabatan dasar kementerian itu berkata pekeliling 2 Nov itu dikeluarkan susulan lawatan Radzi ke Kolej Vokasional ERT di Setapak, Kuala Lumpur, berikutan dakwaan pemeriksaan haid telah dijalankan.

Insiden terbaharu itu berlaku selepas beberapa bulan tekanan terhadap kerajaan untuk mengambil tindakan, sejak isu itu pertama kali diketengahkan oleh Malaysiakini pada April, termasuk kes yang menjangkau hampir 20 tahun lalu.