Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Najib datang awal, kami tak sempat bersihkan meja'

Kunjungan santai Najib Razak ke warung makanan laut di Pantai Siring di Merlimau, Melaka dua hari lalu menjadi bualan hangat di media sosial selepas ada pihak mendakwa pemilik warung dan pelanggan lain memberikan layanan dingin terhadap bekas perdana menteri itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Haslinda Musa, pemilik Warung Bawah Pokok Dak Lin, berkata dakwaan yang tersebar di media sosial itu jauh terpesong dari kejadian sebenar.

Beberapa platform media sosial pesaing BN telah berkongsi klip pendek yang disunting daripada video yang lebih panjang oleh Malaysia Gazette.

Klip yang disunting itu mendakwa bahawa pekerja dan pelanggan di warung itu beredar apabila melihat Najib.

"Akak baca terperanjat juga sampai macam tu sekali. Sebab dia dah edit video Malaysia Gazette. Video asal dipendekkan, (hanya tunjuk) yang kemas meja saja.

"Rasa macam sakit hati pun ada. Sebab bila buat macam ni, tak baik lah. Kita meniaga, takkan VVIP datang kita tak sambut kan?

"Imej kita sebagai pemilik kedai pun penting, tak patut fitnah macam tu. Sebab kita memang sambut kedatangan, tak kira politik. Siapa datang pun kita alu-alukan," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Menjelaskan kejadian Ahad lalu, Haslinda berkata Najib tiba 15 minit lebih awal daripada yang dijadualkan, menyebabkan pekerjanya bergegas membersihkan meja pelanggan lain.

“Pembantu Najib telah menelefon kami pada petang Sabtu, memberitahu dia mahu bersarapan di warung saya pada pukul 9.50 pagi. Dia menempah untuk 40 orang.

“Tetapi secara kebetulan pada pagi Ahad, air laut pasang menyebabkan bahagian tepi pantai warung saya ditenggelami air, jadi kami terpaksa menempatkan pelanggan di sebelah tepi sahaja,” katanya.

Dengan ramai pelanggan dan ruang terhad, Haslinda berkata dia memutuskan untuk membenarkan pelanggan menggunakan ruang yang dikhaskan untuk rombongan Najib kerana dia tidak dijangka tiba dalam masa dua jam lagi.

“Tetapi yang mengejutkan kami, dia datang lebih awal, jadi terdapat dua lagi meja yang tidak kami sempat bersihkan tepat pada masanya.

"Namun nasib baik, dia ke seberang untuk bertemu pelanggan saya yang lain terlebih dahulu supaya kami mendapat masa yang mencukupi untuk membuat persediaan," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Haslinda, perniagaannya yang berusia tiga tahun menghidangkan makanan laut goreng (ikan, sotong dan udang), juga dikenali sebagai 'celup tepung', sebagai hidangan utamanya.

Ini juga merupakan hidangan yang dipesan Najib untuk rombongannya dan orang awam lain yang menyertainya untuk bersarapan. Turut dihidangkan ialah nasi lemak dan mee goreng.

Dia percaya hidangan istimewa warung itu telah menarik minat ahli politik itu untuk mencubanya semasa lawatannya ke kawasan itu.

Haslinda berkata, dia hanya mengetahui berita palsu yang tular pagi ini selepas beberapa rakan menandainya di Facebook.

"Kami juga berasa bangga kerana VVIP datang ke warung biasa kami. Tidak logik untuk kami bertindak sedemikian," katanya.

Namun begitu, secara terang-terangan Haslinda turut merasakan video yang tular itu menjadikan warungnya semakin popular.

Dua berharap ia akan membawa hasil positif dan lebih ramai orang akan datang melawat selepas ini.

Lawatan Najib itu berlaku di tengah-tengah pilihan raya Melaka yang akan berlangsung pada 20 Nov.

Tempoh kempen selama 12 hari bermula semalam.