Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR: Kenapa timbalan Azmin mahu ambil 'kerja sambilan' di Melaka?

PRN MELAKA | Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Lim Ban Hong mungkin menggunakan kedudukannya dalam kerajaan persekutuan untuk meraih sokongan pengundi Kelebang, namun pesaingnya dari PKR cuba menumpukan kritikan terhadap prestasi timbalan menteri itu.

Menyorot prestasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang disifatkan tidak memuaskan, terutamanya dalam pembukaan semula kilang yang menurutnya tergesa-gesa yang menyebabkan penularan Covid-19, PKR berhujah bahawa Lim sudah mempunyai beban tugas yang lebih daripada yang mampu digalasnya.

Lim yang juga Ketua MCA Melaka cuba merampas kembali kerusi Kelebang selepas dia tewas kepada Gue Teck dari PKR pada 2018. Perikatan Nasional (PN) juga turut bertanding dengan meletakkan Bakri Jamaluddin dari PAS.

Bendahari PKR Lee Chean Chung pada sidang media dengan Gue Teck hari ini, menyorot kedudukan janggal Lim.

Katanya, Lim mewakili BN tetapi bosnya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali, adalah dari PN yang bermakna gabungan itu akan berkempen melawan sesama sendiri.

"Di Putrajaya, PN dan BN bekerjasama dalam kerajaan tetapi di Melaka, mereka bertanding sesama sendiri di semua 28 kerusi," kata Lee.

Lee turut mempersoalkan cara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menangani wabak Covid-19.

"Terdapat banyak kluster Covid-19 di kilang. Pelaburan langsung asing telah menjunam dan prosedur operasi standard (SOP) untuk perniagaan mengelirukan.

"Walaupun begitu, Lim kini mahu mengambil kerja sambilan dengan bertanding di kerusi DUN," kata Lee.

Untuk rekod, Lim juga seorang senator di Dewan Negara.

Lee menyeru Lim untuk bercuti bagi memastikan dia tidak menyalahgunakan jentera kerajaan persekutuan untuk kempen itu.

MCA menafikan dakwaan PKR itu, menuduh pembangkang menggunakan taktik tidak wajar untuk melemahkan Lim.

Kempen 12 hari untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka bermula semalam. Hari mengundi ialah pada 20 Nov.