SOP ketat, norma baru beri kesan pada sektor hotel Melaka
PRN MELAKA | Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan norma baru memberi kesan pada sektor perhotelan di Melaka apabila kadar tempahan bilik menjelang pembuangan undi 20 Nov ini masih rendah.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Khairulnizam Kasim berkata 73 hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas dengan jumlah bilik lebih 10,000 yang bernaung di bawah persatuan itu hanya menerima sekitar 40 hingga 50 peratus tempahan setakat ini.
"Tempahan bilik hotel sepanjang tempoh PRN Melaka masih rendah berbanding pada pilihan raya umum sebelum ini. Dulu, seminggu sebelum minggu pencalonan, kebanyakan hotel di bawah MAH Melaka sudah penuh kerana ramai penyokong dari luar datang membantu berkempen,” katanya kepada Bernama.
Khairulnizam berkata kebanyakan hotel berkenaan menerima tempahan pegawai petugas PRN Melaka yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan mereka akan mendaftar masuk secara berperingkat.
Situasi sama turut dihadapi 176 hotel bajet yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Melaka yang menyaksikan kadar tempahan bilik ketika ini hanya sekitar 45 hingga 50 peratus daripada lebih 3,000 bilik yang ada.
Pengerusi MyBHA Sazali Sabri bagaimanapun berkata kadar tempahan itu dijangka meningkat sekurang-kurangnya 10 peratus menjelang minggu pengundian kerana pengunjung kebanyakannya terdiri daripada pengundi yang akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
"Kami memang mengharapkan tempahan bilik meningkat pada musim PRN kali ini tetapi sebaliknya disebabkan kita masih berada dalam fasa pandemik COVID-19 dan pelbagai SOP yang perlu dipatuhi untuk mengekang penularan wabak berkenaan," katanya.
Sazali berkata banyak juga pembatalan tempahan bilik dibuat pada saat-saat akhir kerana SOP ketat yang ditetapkan termasuk larangan untuk berceramah, berkumpul dan berkempen secara fizikal.
Mengulas mengenai SOP Covid-19 yang dilaksanakan hotel berkenaan, dia berkata pihak pengurusan hotel di bawah MyBHA patuh pada SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelak penularan jangkitan agar operasi hotel dapat terus beroperasi.
"Hanya pengunjung yang melengkapkan dos vaksin dan tempoh vaksin telah matang diterima masuk ke hotel selain operasi pembersihan bilik dan sanitasi secara berkala dilakukan dengan mengikuti langkah yang disarankan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai