Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua PN Melaka hadapi saingan 4 penjuru di Telok Mas

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menyaksikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berhadapan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Mohd Rafiq akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Setiausaha Amanah Melaka Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

Pengumuman nama-nama calon bertanding di DUN Telok Mas pada PRN Melaka itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Telok Mas Dr Mohd Azam Ahmad, di pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa (KKD) DUN Telok Mas selepas tempoh pencalonan tamat pada 10 pagi tadi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kerusi DUN Telok Mas dimenangi Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dengan majoriti 1,288 undi.

Terdahulu proses penamaan calon berjalan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, dengan melarang perhimpunan dan perarakan penyokong bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 dengan hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC, bagi mengemukakan kertas pencalonan.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

- Bernama