Saya atau Adly jadi calon KM bukan soal penting, kata Idris Haron
PRN MELAKA | Bekas pemimpin Umno Idris Haron yang kini menjadi calon PH berkata, soal calon ketua menteri bukanlah menjadi agenda utama gabungan tersebut buat masa ini.
Idris yang bertanding di DUN Asahan berkata, apa yang penting adalah menang dulu dalam PRN kali ini.
"Dalam kaedah pilihan raya ini, kita tak letak sesiapa pun (sama ada) saya ke, Adly Zahari ke (sebagai ketua menteri), sesiapa pun.
"Idris Haron tak penting. Yang penting adalah kita nak tawarkan yang lebih baik kepada rakyat negeri Melaka. Perlu 15 orang daripada kami (untuk membentuk majoriti). Kalau (kurang) seorang tak jadi.
"Saya tak kisah siapa pun (jadi ketua menteri), yang penting kita seberangi jambatan ini dan berjaya membentuk (kerajaan), barulah kita fikirkan siapa ketua menteri," katanya kepada pemberita di Kolej Komuniti Selandar, Melaka hari ini.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan jika dia akan menyokong Adly sebagai calon ketua menteri PH.
Adly menjadi ketua menteri ketika PH mentadbir negeri pada 2018 hingga 2020. Idris pula menjadi ketua menteri kerajaan BN pada 2013 hingga 2018.
Idris adalah salah seorang daripada empat Adun yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Sulaiman Md Ali. Dia kemudian dipecat daripada Umno.
Enam penjuru
Sementara itu, Idris menyifatkan pertandingan enam penjuru DUN Asahan kali ini melambangkan "demokrasi yang subur".
"Dalam keadaan kita dikekang dengan Covid-19, kita perlu patuhi SOP (prosedur operasi standard) dan telah banyak diingatkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tentang peraturan.
"Tapi bila kita lihat ada enam calon, maksudnya demokrasi subur di Asahan sepertimana tanahnya," katanya lagi.
Mengulas enyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam yang mengatakan PH melakukan kesilapan dengan menjadikannya dan Nor Azman Hassan sebagai calon, Idris berkata apa yang penting adalah pilihan pengundi Melaka.
Nor Azman adalah seorang lagi bekas Adun Umno yang menarik sokongan terhadap Sulaiman Md Ali dan menjadi calon Amanah bagi DUN Pantai Kundor.
"Dalam politik ini semua orang boleh beri pandangan dan pandapat tapi akhirnya pengundi yang akan pilih.
"Jadi dalam keadaan ni, (sama ada ia) kesilapan atau tidak, ia telah berlaku.
"Sekarang boleh berlaku apa saja. Idris Haron dan Nor Azman tak penting, yang penting rakyat Melaka ditawarkan kerajaan yang bersih," katanya.
Selain Idris, lima lagi calon yang akan merebut kerusi DUN Asahan adalah Dhanesh Basil (PN), Fairul Nizam Roslan (BN), Azhar Abd Hamid (bebas), Mohd Noor Salleh (bebas) dan Akhir Ayob (bebas).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai