Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NGO gesa pengarah syarikat didakwa insiden kematian 3 pekerja Suke

Kumpulan hak pekerja menggesa agar pengarah sebuah syarikat pemaju dikenakan pendakwaan jenayah dan bukannya denda RM45,000 atas dakwaan kecuaian berkaitan insiden yang membawa kepada kematian tiga pekerja pada tahun lalu.

Tiga pekerja warga China itu meninggal dunia manakala seorang pemandu cedera parah apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, di Kuala Lumpur, pada 22 Mac 2020.

Dalam kenyataan hari ini, sejumlah kumpulan hak pekerja menggesa kerajaan mendakwa pengarah Zhongshi International Sdn Bhd dengan pertuduhan menyebabkan kematian.

Jurucakap gabungan itu, Charles Hector berkata tidak memadai dengan hanya mengenakan denda kepada syarikat memandangkang pemilik, pengarah dan pegawai yang menentukan hala tuju dan operasinya.

Katanya, denda itu menyebabkan individu yang bertanggungjawab tidak dikenakan tindakan.

"Kami terkejut apabila tiada seorang pun pengarah atau pegawai Zongshi yang didakwa kerana menyebabkan kematian tiga pekerja migran dan seorang lagi (pemandu) cedera parah.

"Oleh kerana syarikat itu telah mengaku bersalah, kami ingin menggesa pengarah, pengurus dan pegawai lain didakwa dan dibicarakan di mahkamah," katanya.

Dia berkata, kegagalan untuk mengambil langkah wajar bagi menjamin keselamatan pekerja, walaupun tahu kegagalan itu boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius, adalah satu kesalaahn yang patut dihukum.

Terdahulu, Zhongshi International Sdn Bhd didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Syarikat itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada 3 November lalu.

Penjara dan denda lebih tinggi

Hector turut menggesa kerajaan menyegerakan pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Rang undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 dibentangkan di Parlimen pada November tahun lalu dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 27 Oktober.

"Ia belum dibentang di Dewan Negara. Pindaan itu akan meningkatkan denda maksimum daripada RM50,000 kepada RM500,000. Kami menggesa kerajaan menyegerakan pindaan dan penguatkuasaannya," katanya.

Dia juga berkata, denda bagi kesalahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu lebih tinggi - sekurang-kurangnya RM1 juta - dan malah dengan tempoh penjara dan denda yang lebih tinggi jika kecederaan dan kematian disebabkan insiden di tempat kerja.

Berikut senarai kumpulan yang menandatangani kenyataan ini:

Aliran

WH4C (Workers Hub For Change)

Building and Wood Workers International (BWI) Asia Pacific Region

Banglar Manabadhikar Suraksha Mancha (MASUM)

China Labour Bulletin(CLB), Hong Kong

Haiti Action Committee

International Black Women For Wages For Housework

MADPET(Malaysians Against Death Penalty and Torture)

Malay Forest Officers Union (MFOU)

National Union of Transport Equipment and Allied Industries Workers (NUTEAIW)

Network of Action for Migrants in Malaysia (NAMM)

North South Initiative

Odhikar, Bangladesh

Parti Rakyat Malaysia(PRM)

Persatuan Sahabat Wanita Selangor

Sabah Timber Industry Employees Union (STIEU)

Safety and Rights Society, Bangladesh

Union of Forest Employees Sarawak (UFES)

Women Of Color/Global Women's Strike