Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR anjur taklimat di N Sembilan lepas SOP ketat SPR di Melaka - Sumber

PRN MELAKA | PKR hari ini mengadakan sesi taklimat di Negeri Sembilan menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual esok.

Malaysiakini diberitahu taklimat hari ini yang berlangsung di Seremban diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan SOP ketat di Melaka.

"Kami tidak dapat mengadakan taklimat di Melaka kerana SOP SPR. Jadi, kami buat di Negeri Sembilan.

"Kami juga tidak membincangkan mengenai soal Idris Haron," kata satu sumber parti yang menghadiri taklimat tersebut.

Sumber itu berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus bahawa Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berjumpa pucuk pimpinan parti untuk menjelaskan status Idris yang bakal bertanding di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) pada 20 November ini.Idris mewakili PKR akan bertanding di DUN Asahan.

Pada 4 Okt lalu, bekas ketua menteri Melaka Idris Haron bersama tiga Adun lain membatalkan sokongan mereka kepada Sulaiman sebagai ketua menteri.

Tindakan itu menyebabkan Adun Lendu itu kehilangan majoriti di DUN Melaka.

Tiga Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution mengesahkan sesi taklimat hari ini.

"Menjelang esok, hari penamaan calon PKR, pengerusi-pengerusi negeri, ketua-ketua sayap AMK dan Wanita telah dijemput untuk taklimat.

"Kandungan taklimat adalah arahan kerja dan peri pentingnya memahami dan mematuhi SOP SPR sepanjang PRN Melaka. Taklimat oleh dianjurkan oleh Jabatan Pilihanraya Pusat PKR dan dipengerusikan Presidennya Anwar Ibrahim," katanya.

Untuk rekod, SPR menetapkan tarikh mengundi ialah pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov. Pengundian awal pula pada 16 Nov.