Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Cuepacs: Kartel swasta monopoli tender, tak jadi isu pula

Dakwaan bahawa jabatan-jabatan kerajaan dikuasai kartel di peringkat dalaman bagi memonopoli sesebuah tender, bertujuan mengaburi tindakan pihak swasta yang lebih ketara mengamalkan budaya monopoli ke atas sektor ekonomi negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat mendakwa sektor swasta paling agresif memonopoli tender dan projek pembangunan, malah memonopoli kedudukan dalam jawatan-jawatan tertinggi syarikat.

“Kalau kita tengok di peringkat swasta yang dimonopoli oleh kumpulan tertentu, tiada pula isu itu dibangkitkan. Kalau kita tengok jawatan-jawatan di syarikat-syarikat swasta mega, yang dimonopoli oleh kaum tertentu, tiada isu pun.

“Tapi perkara ini menjadi isu apabila berlaku kepada kita. Jadi istilah kartel ini sebenarnya wujud di swasta, bukan di jabatan kerajaan. Kartel penjawatan misalnya, dan kartel dari segi tender ini, sebenarnya mereka yang lebih memonopoli," katanya kepada Mingguan Malaysia.

Adnan berkata keadaan yang sama turut berlaku dalam sektor perumahan.

“Kita tengok syarikat-syarikat perumahan, siapa yang mereka lantik untuk buat pembinaan? Siapa yang mereka lantik untuk bekalkan bahan? Siapa yang mereka lantik buat pendawaian dan sebagainya? Semua adalah kumpulan itu saja. Tapi mereka itu tidak dianggap kartel pula?

“Jadi slogan ‘kartel’ ini hanya mereka tujukan untuk penjawat awam yang berkhidmat untuk negara saja. Yang tak berkhidmat untuk negara, slogan mereka adalah ‘bukan kartel’,” katanya.

Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, perbuatan rasuah dan salah laku individu dalam agensi kerajaan membabitkan banyak pihak boleh mewujudkan rangkaian 'kartel'.

Azam berkata, ada tiga perkara sering dilihat berkaitan ketirisan membabitkan agensi kerajaan dalam perolehan iaitu rasuah atau salah guna kuasa, kutipan yang tidak dikutip dan pengurangan kutipan.

Ada penjawat awam bocor rahsia kerajaan

Sementara itu, Adnan berkata terdapat segelintir penjawat awam yang mempunyai rangkaian dengan pihak tertentu bertindak menyalurkan maklumat dan membocorkan rahsia-rahsia sulit kerajaan.

Katanya, mereka menjadikan alasan tidak berpuas hati dengan menteri-menteri tertentu sebagai justifikasi untuk bertindak membocorkan rahsia kerajaan.

“Kalau dulu zaman Tun Abdullah Badawi selaku Perdana Menteri, kumpulan daulah terpendam ini disebut ‘Napoleon Kecil’. Jadi bagi kami, mereka tak patut wujud. Sebab itulah ada satu ketika, kita perlu ambil tindakan drastik kepada pegawai-pegawai di peringkat tertinggi yang sentiasa memberi rahsia-rahsia tertentu di luar sana.

“Sama ada tindakan itu kononnya bersifat mahu selamatkan Malaysia, selamatkan itu atau ini, apapun hakikatnya itu tindakan yang salah,” katanya.