Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Melaka nafi tutup sempadan negeri sempena PRN

PRN MELAKA | Polis Melaka menafikan mereka akan menutup sempadan negeri itu selama 15 hari sempena pilihan raya negeri (PRN) seperti ditularkan menerusi media sosial semalam.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata prosedur operasi standard (SOP) yang tular sejak petang semalam adalah palsu dengan disunting daripada SOP PRN Sabah sebelum ini.

Katanya perkara itu kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Polis Melaka masih menunggu SOP berkaitan PRN Melaka daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Orang ramai diminta tidak mudah percaya dengan penularan maklumat tidak sah di media sosial dan diminta menghubungi Bilik Gerakan Polis Melaka jika memerlukan penjelasan," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Kenyataan yang tular tersebut antaranya turut menyatakan bahawa penutupan sempadan Melaka dalam tempoh 15 hari bermula sehari sebelum hari penamaan calon sehingga hari mengundi pada 20 Nov 2021 serta sekatan jalan raya (SJR) diaktifkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ekoran pembubaran dewan undangan negeri (DUN) pada 4 Okt lepas.

- Bernama