Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jangan berlebihan dengan SOP, kata Kit Siang pada SPR dan KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak wajar “melampau” dalam penetapan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan mengenakan larangan menyeluruh terhadap kempen fizikal, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Sebaliknya, ahli parlimen Iskandar Puteri itu berkata, harus ada keseimbangan antara mengadakan pilihan raya yang adil dan mengelakkan penularan Covid-19.

“Perangkaan SOP Covid-19 untuk PRN Melaka dan Sarawak tidak boleh disalah guna, sebaliknya ia perlu memastikan wujud keseimbangan antara mengadakan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih, dan amengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Tidak ada sebab untuk KKM dan SPR mengenakan larangan menyeluruh terhadap proses kempen secara fizikal dengan syarat SOP Covid-19 untuk mengekang penularan dipatuhi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Lim, jika SPR masih terus melaksanakan larangan menyeluruh ke atas kempen fizikal, ia akan membawa kepada sebuah pilihan raya yang tidak telus dan tidak adil berlangsung.

“Menjadi tanggungjawab SPR untuk memastikan terdapat kadar keluar mengundi yang tertinggi dalam PRN Melaka dan Sarawak, sambil memastikan SOP Covid-19 yang ada mengekang penularan wabak ini.

“SPR tidak boleh menjadi lebih KKM berbanding dengan KKM sendiri.

“Janganlah kita mengikuti langkah seperti di Jordan, apabila hanya 29 peratus pengundi keluar mengundi, atau seperti Algeria yang cuma ada 30 peratus pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya parlimen mereka,” kata Lim lagi.

Tambahnya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, Sains, dan Inovasi perlu memanggil SPR untuk menjelaskan bagaimana keseimbangan dapat dicapai dalam memastikan pilihan raya yang bersih, adil, dan bebas, pada masa yang sama mengekang penularan wabak Covid-19.

PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 20 November manakala PRN Sarawak mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh 3 November.