Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kes Zulfarhan: Doktor boleh campur tangan bantu mangsa dera, kata MMA

Doktor boleh bertindak bagi pihak pesakit sekiranya mereka dipercayai didera, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden MMA Koh Kar Chai berkata demikian sebagai maklum balas terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kematian kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia setelah didera rakan sepengajiannya.

“Doktor dilatih untuk melindungi mereka yang berkemungkinan menjadi mangsa dera apabila berhadapan dengan mereka di klinik.

“Mangsa-mangsa daripada semua peringkat umur ini, mungkin menunjukkan tanda-tanda penderaan yang berbeza, dan doktor dilatih untuk berwaspada akan tanda penderaan, sama ada pada kanak-kanak mahupun dewasa,” kata Koh kepada Malaysiakini.

Satu bahagian daripada keputusan mahkamah menyatakan bahawa nyawa Zulfarhan mungkin dapat diselamatkan jika doktor di sebuah klinik swasta campur tangan ketika merawatnya.

"Sepatutnya doktor tersebut tidak membabi buta mempercayai mangsa terlibat dengan letupan dalam latihan sehingga terkena pada semua tubuh mangsa termasuk zakar dan testis namun tidak pada muka si mati," kata hakim Azman Abdullah dalam penghakimannya.

Zulfarhan meninggal dunia daripada 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh lima rakan sepengajiannya pada 2017.

Kata Koh, doktor boleh bertindak bagi pihak mangsa yang tidak dapat mengadu tentang insiden penderaan dengan membuat laporan polis.

“Mangsa-mangsa ini kemudiannya dirawat sebelum dihantar ke pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Jika pendera turut hadir yang mungkin menghalang rawatan diperlukan (daripada diberikan kepada mangsa), pihak berkuasa berkaitan akan dimaklumkan supaya perlindungan dapat diberikan kepada mangsa,” katanya.

Mahkamah memutuskan yang Zulfarhan meninggal dunia akibat penderaan dideritainya daripada seterika wap tersebut tetapi mendapati kematian itu bukan kerana niat membunuh.

Enam tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali dihukum penjara 18 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh - kecuali Mohamad Shobirin - serta 12 rakan sepengajian lain selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Semua tertuduh kini berusia 25 tahun.