SU Agung: Rekod cemerlang aset besar GPS pada PRN Sarawak
Walaupun nama Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya muncul secara rasmi pada 2018, hakikatnya gabungn mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang yang cukup lama dalam mentadbir Sarawak.
Malah, rekod perkhidmatan parti-parti dalam gabungan itu - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) - mampu menjadi aset dan modal besar untuk menang besar dalam PRN ke-12 akan datang.
Keyakinan untuk memegang mandat baru di Sarawak dalam tempoh lima tahun seterusnya disuarakan Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi, walaupun parti itu buat pertama bakal bergerak sendiri selepas keluar daripada gabungan BN pada Jun 2018, dan tidak lagi menggunakan simbol dacing pada PRN kali ini.
“Berapa jumlah kerusi yang akan dimenangi saya tidak mahu buat ramalan, tapi track record kita ini adalah modal besar lebih-lebih lagi dalam dua tiga tahun kebelakangan ini sahaja projek pembangunan kerajaan negeri berlipat ganda,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
GPS akan bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN ke-12.
Sebagai individu yang mendaftarkan GPS dan logo itu sendiri, Nanta berkata walaupun penggunaan logo Kenyalang mungkin menimbulkan sedikit kekeliruan kepada pengundi, namun dia berkata ‘tidak banyak boleh merisaukan’ kerana baginya rakyat tahu siapa yang bekerja.
Katanya, cabaran mungkin tertumpu kepada muka-muka baru akan dicalonkan pada PRN nanti, namun mahu tidak mahu generasi muda yang lebih bertenaga perlu juga diketengahkan dan diberi peluang menjadi calon.
“Walaupun muka baru sebagai calon, tapi mereka ini bukan orang asing dalam kalangan rakyat, sebab itu kita pilih mereka jadi calon. Saya sudah lima kali bertanding (kerusi Parlimen), menang besar tiga kali, dua kali tanpa bertanding, saya tidak pernah over confident. Lebih baik kalau kita bersedia selengkap-lengkapnya jangan terlalu yakin hingga kita leka dengan persediaan,” katanya yang juga ahli parlimen Kapit.
Nanta berkata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg telah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi Sarawak, sama ada bandar mahu pun luar bandar.
Tidak hanya sekadar janji kosong, dia berkata perkara itu dibuktikan dengan penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (Urda), Badan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Badan Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Jawatankuasa Pembangunan Sri Aman (Sada) misalnya bagi mencungkil potensi daerah dan kawasan berkenaan.
Sementara itu, Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata perjuangan Sarawak dalam menuntut hak sepertimana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), satu daripadanya untuk mendapat sumber kewangan lebih besar, adalah untuk faedah rakyat negeri itu.
Dia berkata misalnya dengan pelaksanaan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum dieksport yang membolehkan Sarawak mendapat tambahan kira-kira RM3 bilion setahun, ia disalurkan semula kepada rakyat bagi membantu mereka
“Rakyat faham mengapa kita bersungguh-sungguh minta hak kita...kita bersungguh-sungguh mohon bayaran lima peratus ini, jadi kerajaan guna untuk projek, tangani masalah Covid-19, bakul makanan, semua lengkap,” katanya.
Bukan hanya projek pembangunan fizikal, Nanta berkata sewaktu pandemik Covid-19, kerajaan Sarawak banyak menggunakan dana sendiri bagi membantu mereka yang terkesan dengan pandemik itu selain bantuan daripada kerajaan persekutuan.
Malah, katanya kadar vaksinasi lengkap cepat di Sarawak sebelum ini juga disumbang faktor kerajaan negeri mengeluarkan dana sendiri bagi membantu pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bergerak ke kawasan pedalaman yang sukar dihubungi bagi memberikan suntikan vaksin Covid-19.
Ketua menteri juga memperkasa peranan dan tanggungjawab wakil-wakil rakyat GPS dengan pemberian peruntukan bagi mereka ‘melayan’ dengan sebaiknya kawasan masing-masing, termasuk memberikan bantuan bakul makanan ketika Covid-19 dan bantuan persekolahan.
“Bagi saya kita bukan sekadar berjanji tapi kita sudah buktikan (dengan) kerajaan dipimpin ketua menteri dan ahli kabinet di Sarawak,” katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai