Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Undang-undang liwat Kelantan tak berperlembagaan, kata majlis perundingan agama

Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa kerajaan negeri Kelantan menyemak semula undang-undang jenayah syariah yang dikuatkuasakan baru-baru ini di negeri itu, termasuk hukuman terhadap kegiatan homoseksual dan kesalahan-kesalahan lain.

Memetik duluan undang-undang, presidennya Jagir Singh berkata bahawa kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan hal jenayah adalah terletak pada Parlimen.

“Oleh itu, kerajaan Kelantan harus menyemak semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan dan selarikannya dengan keputusan Mahkamah Persekutuan di atas, untuk mengelakkan konflik dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dia merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan pada Februari dalam kes oleh Iki Putra Mubarak melawan undang-undang syariah Selangor yang menganggap seks luar tabii sebagai jenayah.

Mahkamah itu menyatakan bahawa memandangkan kedua-dua badan perundangan negeri dan persekutuan telah menguatkuasakan undang-undang ke atas hal undang-undang jenayah yang sama, maka kedua-dua undang-undang itu tidak boleh wujud serentak.

Oleh hal yang demikian, undang-undang negeri berkenaan adalah menyalahi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang berkaitan hal-hal di bawah bidang kuasa persekutuan.

“Ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki, kesalahan liwat sudah pun menjadi satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan - undang-undang persekutuan - dan oleh itu kandungan ‘liwat’ dan kesalahan homoseksual lain di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan terbatal,” kata Jagir.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan berkuat kuasa bermula 1 Nov dengan 24 peruntukan baru, termasuklah sihir, dakwaan palsu, percubaan keluar Islam, memutarbelitkan ajaran Islam, tidak menghormati Ramadan, memusnahkan tempat ibadat, persetubuhan dengan mayat dan persetubuhan dengan bukan manusia.

Ia mengggantikan Enakmen Jenayah Syariah 1985 Kelantan. Denda adalah berbeza mengikut kesalahan, dengan hukuman maksimum adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000, dan enam kali sebatan.

Undang-undang baru beri gambaran kabur tentang Islam - SIS

Sementara itu, Sisters in Islam (SIS) turut mempertikaikan keabsahan undang-undang baru itu, selain kebimbangan lebih luas mengenainya.

Katanya, ia memberikan gambaran yang kabur tentang Islam dan menekan pemikiran kritis.

“Kami turut berpandangan perkembangan ini membimbangkan dan berbahaya, kerana ia menyalahi prinsip asas demokrasi dengan mengekang pemikiran dan luahan kritis melalui peruntukan yang sembarangan dan menghukum mereka yang tidak patuh.

“Ia tidak menggambarkan Islam yang inklusif, progresif dan toleran, tetapi hanya memaparkan Islam sebagai agama yang bersifat menghukum memandangkan tidak ramai orang Islam yang berani mempersoalkan, mencabar bahkan membincangkannya hal-hal keagamaan, meskipun mereka mencurigai ajaran yang kelihatan tidak adil dan tidak kena dengan peredaran zaman dan keadaan,” kata kumpulan berkenaan.

SIS turut mempersoalkan kenyataan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakob bahawa undang-undang itu bukan semata-mata menghukum tetapi bertujuan memberi kesedaran kepada pesalah syariah untuk menepati perintah agama dan menjadikan syariat Islam sebagai panduan kehidupan.

“Apa maksud sebenar restoratif dan retributif dalam konteks ini?

“Meskipun ada dinyatakan untuk melakukan perkhidmatan sosial bagi pesalah remaja di bawah pemantauan imam masjid, apa pemahaman di sebalik restoratif dan retributif untuk tindakan yang dianggap jenayah di bawah Kanun Jenayah Syariah ini dan bagaimana ia akan dicapai dalam pembentangan Akta 355 yang semakin hampir?” soalnya.

Akta 355 merujuk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. PAS memperjuangkan untuk meminda undang-undang itu bagi membenarkan mahkamah syariah mengadakan hukuman lebih berat sehingga 30 tahun penjara, RM100,000 denda dan 100 kali sebatan.

Had semasa di bawah Akta 355 adalah penjara tiga tahun, RM5,000 denda, dan enam kali sebatan.

Pindaan yang dicadangkan itu dilihat sebagai usaha PAS bergerak ke arah melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan dan Terengganu.