Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ada kena gugur: DAP pertaruh beberapa muka baru

Setiausaha DAP Melaka Damian Yeo Shen Li hari ini membayangkan kemungkinan barisan calon baru untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan datang.

Bagaimanapun katanya, ini akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.

“Ada kemungkinan untuk penyandang digugurkan, mungkin ada yang tidak mahu bertanding," katanya.

Yeo yang juga Adun Duyong berkata, 18 borang calon telah dibeli hari ini walaupun DAP akan hanya bertanding di lapan kerusi.

Dia menambah bahawa senarai barisan itu akan diumumkan dua atau tiga hari selepas Deepavali (4 Nov) oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

"Kami telah pun membeli lebih kurang 18 borang penamaan calon ini walaupun untuk maklumat semua, saya percaya bahawa semua tahu DAP akan bertanding lapan kerusi sahaja.

"Lapan kerusi itu termasuk Pengakalan Batu - iaitu kerusi yang telah pun kita tanding dalam PRU14," katanya.

Selain Pengkalan Batu, kerusi DUN yang ditandingi DAP pada PRU14 ialah Gadek, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir, dan Bemban.

Kesemua lapan kerusi dimenangi oleh DAP; Bagaimanapun, bekas ahli DAP dan Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee berpaling tadah daripada parti itu tahun lepas.

Minggu lalu diumumkan bahawa DAP, yang bertanding di bawah logo PH, akan bertanding untuk lapan kerusi manakala PKR dan Amanah masing-masing akan merebut 11 dan sembilan kerusi - merangkumi kesemua 28 kerusi yang ada di negeri itu.

Ketika ditanya, Yeo berkata terdapat lebih lima calon baru dipertimbangkan untuk penamaan calon.

"Ada kemungkinan penyandang (sebelum ini), mungkin ada yang tidak mahu bertanding. Ada kemungkinan itu. Tapi apa-apa pun kita serahkan kepada pemimpin DAP pusat.

"Pengkalan Batu kerusi kosong, tetapi ada kemungkinan penyandang yang pergi ke sana untuk bertanding. Ada kemungkinan. Bukan semua.

"Mungkin Tey Kok Kiew (yang merupakan Adun Bandar Hilir) akan pergi ke lain tempat, mungkin saya pergi ke Pengkalan Batu, kita tidak tahu.

"Apa-apa pun, kita bersedia untuk PRN ini," katanya.

Yeo melahirkan keyakinan terhadap keupayaan gabungan itu untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri, dengan mengatakan bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari akan mengetuai jentera pilihan raya.

“PH bersatu. Kita telah menyelesaikan isu logo, dan (peruntukan) kerusi. Saya percaya kita bergerak sebagai satu.

"Kita juga ada calon menteri besar kita. Calon kita Adly akan mengetuai jentera pilihan raya,” katanya.

Dia menambah bahawa mereka bersedia untuk sebarang pertempuran, sama ada pertarungan satu atau dua atau tiga penjuru.

“Fikiran dan fokus kami adalah untuk menang untuk PH secara keseluruhan dan di peringkat negeri," kata Yeo.