Tajuddin: Jual beli aset, ekuiti macam Cina untuk tambah kekayaan
PARLIMEN | Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman menggesa agar orang Melayu dan bumiputera mencontohi amalan masyarakat Cina dalam usaha mengembangkan kekayaan.
Katanya amalan menjual tanah dan ekuiti adalah salah satu cara untuk menambah kekayaan apabila pendapatan yang diperolehi daripadanya digunakan untuk membeli aset yang baru.
Tambah ahli parlimen Pasir Salak itu lagi orang politik tidak seharusnya menyalahkan Melayu dan menuduh mereka malas atau ghairah mencari keuntungan segera dengan menjual semula tanah dan ekuiti yang diberikan.
"Kawan-kawan kita dari masyarakat Cina, ini yang mereka buat. Jual (kemudian) beli, jual beli. Setiap kali beli mereka tambah aset dan kawalan.
"Inilah yang sepatutnya kita (orang Melayu) lakukan," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2022 hari ini.
Sementara itu Tajuddin berkata dasar ekonomi bumiputera yang baru perlu digubal selepas usaha sebelum ini dilihat gagal untuk memartabatkan orang Melayu.
Bagaimanapun, katanya, dasar itu tidak boleh berasaskan kepada subsidi.
Kata Tajuddin masalah itu bermula dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang diperkenalkan Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri pada 1990-an.
Perlu bergerak lebih jauh
Jelasnya, melalui NDP terdapat dorongan yang lebih besar untuk penswastaan dan pelaburan asing yang melibatkan bumiputera.
Kemudian, kata Tajuddin, kerajaan Pakatan Harapan yang menggantikan BN pada 2018 turut meneruskan dasar yang didakwanya menyebabkan bumiputera ketinggalan.
"Berapa peratusan penyertaan bumiputera di semua peringkat sekarang? Bukan sahaja dalam ekuiti. Bukan lima peratus keseluruhannya," dakwanya.
Justeru Tajuddin berkata, satu perubahan diperlukan dan menggesa kementerian kewangan untuk menghasilkan dasar ekonomi bumiputera yang baru agar matlamat sebenarnya boleh dicapai.
"Jika tidak, dalam tempoh 50 tahun kita masih tidak tahu sama ada orang Melayu ketinggalan seperti hari ini (atau tidak)," katanya.
Sementara itu Tajuddin berkata walaupun kebajikan bentuk pemberian dan subsidi perlu diberikan, ia bukan penyelesaian jangka panjang.
"Berapa lama anda mahu meneruskan negara berkebajikan? Kita perlu bergerak lebih jauh.
"Kita mahu menjadi negara maju, berpendapatan tinggi. Jadi tidak cukup dengan hanya memberi subsidi atau suapan.
"Saya minta kerajaan, dan pemimpin kedua-dua pihak berfikiran jauh. Kita perlu berubah," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai