Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

UPNM, ATM diingat ambil pengajaran dari kes kematian Zulfarhan

Warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan agar tidak mengulangi perbuatan jenayah seperti yang berlaku ke atas Pegawai Kadet Laut Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang turut menyifatkan perbuatan ke atas Zulfarhan Osman itu sebagai keji.

“Kematian Allahyarham Zulfarhan (Osman) empat tahun lalu amat mendukacitakan.

"Sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, saya telah arah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) gantung segera 32 pegawai kadet serta nilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di ALK.

“Saya juga jamin tiada siapa akan dilindungi dan terlepas dari undang-undang,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya pagi ini.

Hishammuddin berkata UPNM dan ATM perlu mengambil iktibar dan pengajaran terhadap hukuman penjara yang dikenakan terhadap enam penuntut universiti itu kerana ia menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh Zulfarhan Osman.

“Saya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal jenayah dan kezaliman!’’ tambah Hishammuddin.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, 21 Mei 2017 dan dalam bilik 04-10 antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mahkamah sebelum ini memutuskan sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh tertuduh itu pada badan Allahyarham Zulfarhan Osman menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

- Bernama