Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kemiskinan haid tidak teruk? Wanita PKR tempelak anak Zahid

Seorang exco Wanita PKR hari ini tampil menempelak anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menidakkan beratnya isu kemiskinan haid di Malaysia dengan mendakwa tuala wanita yang dipelukan untuk menguruskan isu itu tidaklah terlalu mahal.

Napsiah Khamis yang juga adalah pengerusi NGO, Bidadari yang membantu wanita miskin berkenaan mempersoalkan jika Nurulhidayah Ahmad Zahid sebenarnya cuba menyamakan kehidupan mewahnya sama seperti wanita-wanita lain.

“Adakah kemiskinan itu satu perkara yang perlu ditertawakan?

“Saya menyangkal sekeras-kerasnya bahawa tiada masalah kemiskinan haid di Malaysia malah saya mendesak supaya kerajaan mengambil serius dan mencari penyelesaian untuk isu ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Napsiah, sebagai seorang yang bergiat aktif dalam kempen kemiskinan haid, banyak kisah-kisah sedih yang dikongsikan bersamanya.

Antaranya, wanita gelandangan menggunakan tisu di tandas awam atau kain di dalam tong sampah dan ada wanita susah pula menggunakan stokin semasa haid.

“Ada wanita susah kembali ke zaman 20 tahun dulu menggunakan kain batik / baju lama semasa haid untuk jimatkan kos.

“Remaja perempuan tidak pergi ke sekolah kerana tiada tuala wanita.

“Wanita susah tidak ganti tuala wanita semasa haid untuk jimatkan penggunaan,” kata Napsiah sambil menambah mereka seharian memakai tuala yang sama.

Nurulhidayah ketika menjawab komen salah seorang pengguna di Instagram yang membangkitkan mengenai wujudnya wanita tidak berkemampuan mendakwa tuala wanita yang dipelukan adalah tidaklah terlalu mahal.

Pengguna itu mendakwa ada yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan.

“Saya sedar mengenainya (mengandung untuk mengelakkan datang bulan), tapi bukan di Malaysia. Mana ada pad (tuala wanita) harga kayangan pun,” kata anak presiden Umno itu.