Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seks dengan mayat, bukan manusia antara kesalahan syariah baru di Kelantan

Terdapat 24 peruntukan baru dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan yang mula dikuatkuasakan mulai semalam.

Peruntukan itu antaranya ialah sihir, dakwaan palsu, percubaan keluar Islam, memutarbelitkan ajaran Islam, tidak menghormati Ramadan, memusnahkan tempat ibadat, persetubuhan dengan mayat dan persetubuhan dengan bukan manusia.

Berdasarkan warta kerajaan bagi enakmen tersebut, ia membabitkan 68 seksyen dengan penambahan 34 seksyen berbanding peruntukan sedia ada dalam Enakmen Jenayah Syariah 1985 Kelantan.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V memberi perkenan untuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dikuat kuasa bermula semalam.

Menteri Besar Ahmad Yakob dilaporkan berkata enakmen itu memilih kaedah pelaksanaan bagi penambahbaikan yang bertujuan untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah.

Katanya terdapat kewajaran enakmen sedia ada ditambah baik sesuai dengan arus perkembangan sosial masyarakat dan menepati Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Enakmen baru itu dibuat sebagai penambahbaikan terhadap enakmen sedia ada termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 dan mula disemak semula pada 2016 hingga 2019.

Kata Ahmad, Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 tidak dapat dikuatkuasakan atas “sebab dan halangan tertentu”.

Sebagai makluman, enakmen 1993 itu mempunyai peruntukan untuk pelaksanaan hudud.

Semakan Malaysiakini melalui warta Enakmen Jenayah Syariah (I) 2019 itu antara lain bagi kesalahan persetubuhan dengan mayat, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan cuba melakukan persetubuhan dengan mayat pula boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan persetubuhan dengan bukan manusia, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pesalah yang didapati cuba melakukan persetubuhan dengan bukan manusia pula boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu bagi kesalahan mengganggu rumah tangga orang lain pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan mahkamah boleh memerintahkan pasangan itu supaya hidup semula sebagai pasangan suami isteri.

Bagi kesalahan mencacah tatu atau membuat rawatan atau pembedahan untuk tujuan kosmetik tanpa sebab syarie, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.