Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Azalina gesa rakyat Melaka undi parti sokong RUU antilompat parti

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said mempromosikan Rang Undang-undang Anti-Lompat Parti "hibrid" yang dipeloporinya dengan berkata ia wajar menjadi pertimbangan utama bagi pengundi di Melaka.

RUU itu menggesa pengundi untuk menghantar petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memecat wakil rakyat yang berpaling tadah daripada parti masing-masing dan membuka laluan supaya pilihan raya kecil dapat diadakan.

RUU itu, bagaimanapun, memberi pilihan kepada pengundi untuk menolak petisyen tersebut jika majoriti memihak kepada wakil rakyat berkenaan menukar parti dan mahu mereka dikekalkan.

Melalui ciapannya di Twitter, Azalina berkata rang undang-undang itu boleh dilaksanakan di peringkat negeri dengan meminda perlembagaan negeri Melaka dengan sokongan dua pertiga.

“#RUUHibrid mungkin boleh menyelesaikan kemelut politik di Melaka! Sesiapa yang bakal terajui kerajaan negeri Melaka wajar mewujudkan #RUUHibrid ini.

“Sama-sama kita menghentikan gejala lompat parti. Pengundi mempunyai kuasa dan hak untuk menentukan politik berhemah di Malaysia,” ciapnya.

Tindakan wakil rakyat yang berpaling tadah dan melompat parti telah menjadi masalah utama dalam politik Malaysia sejak 2018.

Pilihan raya mengejut di Melaka juga adalah hasil daripada empat Adun yang berpaling tadah daripada kerajaan negeri pimpinan BN.

Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri mendedahkan bahawa pembelotan yang diketuai oleh bekas ketua menteri Idris Haron telah berunding dengan Pakatan Harapan sebelum membuat keputusan untuk menarik semula sokongan mereka.

Sebelum ini, pada 2020, pembelotan juga membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri pimpinan PH.

PKR dan Amanah kini sedang melamar Idris dan bekas Adun Umno Nor Azman Hassan untuk bertanding di bawah PH - walaupun mendapat bantahan daripada DAP.