Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Surat Adun Warisan letak jawatan tersebar, namun mungkin tiada kesan

Sepucuk surat yang ditandatangani Adun Segama, Mohammadin Ketapi berkenaan perletakan jawatan sebagai Adun tersebar.

Di surat itu, terdapat cap yang menunjukkan ia diterima Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada jam 11.25 pagi ini. Ia juga menunjukkan surat itu ditandatangani pada 30 Oktober lalu.

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua mengesahkan yang dia mengarahkan peguam parti untuk menghantar surat itu ke pejabat speaker.

Mohammadin pula, ketika ditunjukkan surat itu, berkata kepada Malaysiakini yang dia tidak menandatanganinya.

Ditanya jika dia ada menurunkan tanda tangan terlebih dahulu, Mohammadin berkata: "Mungkin. Saya tak tanda tangan sebarang dokumen untuk letak jawatan sebagai adun pada 30 Oktober."

Dua hari lalu, Mohammadin mengumumkan keluar Warisan dan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Langkah itu menyusuli Adun Sebatik Hassan A Gani Pg Amir yang berbuat demikian Mac lalu dan Yusof Yacob pada Oktober.

Warisan turut menghantar surat perletakan jawatan Yusof dan Hassan ke pejabat speaker dan kedua-duanya ditolak.

Pada 25 Oktober lalu, Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya dalam kenyataan menjelaskan Yusof telah membuat perakuan bersumpah (SD) membatalkan semua perjanjian yang dibuat dengan Warisan.

Kadzim juga memberi penjelasan sama pada 3 Mac, ketika menolak surat Hassan A Gani.

Warisan menang 23 kerusi ketika PRN Sabah pada September 2020. Kini, parti itu tinggal 19 kerusi di DUN Sabah.

Selain tindakan tiga Adun yang keluar parti, Warisan juga kehilangan kerusi DUN Bugaya setelah penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada November tahun lalu.

Difahamkan semua calon Warisan menandatangani surat letak jawatan tidak bertarikh sebagai syarat untuk bertanding dalam PRN tahun lalu.

Acara tandatangan dibuat di Sabah Convention Centre di Kota Kinabalu dan rakaman turut dibuat, di mana setiap calon membacakan ikrar untuk letak jawatan sebagai Adun jika keluar parti.