Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Syed Saddiq: Kenapa tumpu isu Timah tapi senyap isu ketirisan RM620 juta?

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mempersoalkan sama ada kerajaan memberi perhatian yang sama terhadap tadbir urus yang baik dan isu kepentingan awam seperti mana ia memberi perhatian pada kontroversi berhubung wiski Timah.

Dalam perbahasan Belanjawan 2022 hari ini, Syed Saddiq berkata kerajaan dilihat lebih memberi perhatian terhadap isu itu berbanding tadbir urus yang baik.

"Apa yang diumumkan oleh menteri kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) adalah baik tetapi pengumuman ini akan disia-siakan tanpa pelaksanaan yang betul. Kuncinya ialah pelaksanaan projek kerajaan. Ini isu yang kita hadapi sekarang," katanya.

Syed Saddiq menyorot ketidakupayaan kerajaan untuk menyampaikan 150,000 gajet elektronik untuk membantu pelajar miskin atau kurang bernasib baik pada awal tahun ini dan laporan terbaru ketua juruaudit negara yang mendedahkan kehilangan dana awam, pembayaran tidak teratur, pembaziran berjumlah RM620.07 juta pada 2020 .

"Kita jarang dengar perbahasan dan pelaksanaan berkenaan, tentang data dan sains di sebaliknya. Tapi dalam dua minggu lalu, kita dengar isu apa? Isu (wiski) Timah, kita tukar nama Timah.

"Adakah mesyuarat khas cabinet bincang isu Timah, bincang nama tu di mesyuarat? Ada tiga menteri yang perlu bincangkan secara khas berkenaan isu Timah, hanya berkenaan nama satu syarikat yang wujud bertahun-tahun, adakah fokus yang sama, kritikan yang sama diberikan ke atas RM620 juta ketirisan duit rakyat?

"Tak ada, senyap, diam je di dewan ni, lesap, tetap isu Timah, seperti itu isu paling besar di negara," katanya.

Syed Saddiq turut membidas Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man kerana tidak menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26) yang sedang berlangsung di Scotland, tetapi fokus kepada isu Timah.

"Apakah jenis mesej yang kita hantar di sini? Adakah nama jenama lebih penting daripada isu penyelewengan dan pekerjaan? Terdapat begitu banyak usaha ke arah isu kosmetik tetapi isu yang dekat di hati kita tidak diberi masa yang cukup," katanya.

Pada 30 Okt, Tuan Ibrahim memberitahu mesyuarat perwakilan tahunan sayap Pemuda PAS, atau muktamar, bahawa kabinet telah memutuskan produk yang boleh menyebabkan "kegentaran awam" tidak boleh dijual.

Sejak dua minggu lalu, beberapa kumpulan dan ahli politik termasuk dari PAS mendakwa bahawa jenama arak “Timah” merupakan satu penghinaan terhadap Islam kerana ia mempunyai persamaan dengan nama anak Nabi Muhammad, Fatimah.

Mereka seterusnya mendakwa bahawa jenama wiski dan logo wiski itu - yang memaparkan gambar pegawai kolonial berjanggut Kapten Tristram Speedy - "mengelirukan umat Islam".