Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

74 permohonan pampasan AEFI diterima, tiada diluluskan setakat ini

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan telah menerima 74 permohonan untuk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19, namun sehingga semalam, masih belum ada permohonan yang diluluskan.

Timbalan Menteri Kesihatan Aaron Ago Dagang berkata daripada jumlah itu,  terdapat 58 permohonan mendapatkan pampasan akibat kesan advers berikutan pelalian (AEFI) dalam pertimbangan Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK). Sembilan lagi permohonan dalam pertimbangan Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan.

Manakala tujuh permohonan yang telah ditolak.

Setakat 27 Oktober lalu, terdapat 22,132 laporan kesan advers telah diterima melalui sistem pelaporan melalui aplikasi MySejahtera, kata Aaron Ago.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 1,483 laporan dikategorikan sebagai serius bersamaan dengan 0.03 laporan bagi setiap 1,000 dos diberi dengan penerima vaksin telah menerima rawatan di hospital untuk pemantauan dan rawatan lanjut bagi beberapa hari.

“Semua kes yang dikategorikan sebagai serius akan disiasat secara menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan yang berkenaan.

“Laporan penyiasatan ini kemudiannya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) untuk penilaian kausaliti (hubung kait) antara kesan sampingan dan vaksin yang diambil.

“Daripada jumlah kes serius setakat ini, terdapat 519 laporan yang merekodkan kes-kes kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19. Namun begitu, setelah penilaian kasualiti dijalankan,tiada kes kematian yang dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19 yang telah diberikan, setakat ini, katanya.

Aaron Ago menjawab soalan Mohd Redzuan Md Yusof (PN- Alor Gajah) yang ingin tahu mengenai langkah-langkah keselamatan pihak Kementerian Kesihatan jalankan bagi memastikan vaksin yang diterima bersesuaian dengan kondisi badan penerima dan apakah

bentuk pampasan yang diterima penerima vaksin sekiranya terdapat kesan sampingan selepas divaksin.

Skim Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 oleh kerajaan memperuntukkan pampasan sehingga RM50,000 bagi warganegara Malaysia yang mendapat kesan sampingan yang serius selepas menerima vaksin itu dan memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.

Kerajaan juga memperuntukkan pampasan tidak melebihi RM500,000 bagi warganegara yang hilang upaya kekal atau kematian di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam soalan tambahannya, Mohd Redzuan berkata laporan tidak rasmi yang diterimanya menunjukkan “kadar adverse effect oleh vaksin Sinovac amat tinggi”.

Namun Aaron Ago berkata kajian lanjut diperlukan dan memberi jaminan bahawa kajian awal menunjukkan vaksin Sinovac adalah selamat untuk digunakan.

“Mungkin laporan-laporan itu perlu kita semak kembali tetapi untuk Sinovac dari awal kita pasti memang selamat sebab itu kita guna vaksin itu untuk suntikan.

“Saya fikir kadar adverse effect ini yang satu daripada kemungkinan sebab kita ada varian baru, Delta dan juga kes begitu banyak di Malaysia, dan di seluruh dunia dan ini mungkin juga menyebabkan kesan yang lebih serius kepada penerima vaksin,” katanya.