ULASAN | Rafizi ingat hanya dia yang pandai politik
ULASAN | Rafizi Ramli adalah seorang politikus yang amat angkuh dan bersikap superiority complex (kompleks tinggi diri) terlalu tinggi.
Rafizi ingat dalam dunia ini hanya dia seorang saja yang pandai berpolitik.
Bagi saya, dia adalah seorang manusia yang tidak boleh berpijak di bumi yang nyata serta tidak boleh terima hakikat yang hakiki.
Sekiranya dia pandai sangat kenapa PRU sejak tahun 1999 dengan isu reformasi paling dahsyat diketahui di seluruh dunia sehingga PRU13, pembangkang gagal kalahkan BN?
Jadi pandai sangatkah Rafizi Ramli ini?
Apabila Dr Mahathir Mohamad gerakkan Deklarasi Rakyat pada tahun 2016 seterusnya bersama PH bagi menghadapi PRU14, pembangkang telah berjaya menumbangkan kerajaan kleptokrasi BN pada waktu itu.
Mahathir telah berjaya mencipta angin perubahan sehingga lebih 12 peratus undi Melayu menyebelahi PH sehingga kerajaan BN buat pertama kali dalam sejarah politik negara kita tumbang.
Anwar Ibrahim sudah berkali-kali cuba untuk jatuhkan kerajaan BN yang diterajui oleh Umno tetapi semuanya gagal.
Sesungguhnya, secara jujur saya ingin menasihati Rafizi agar cermin muka sendiri dan terimalah hakikat bahawa mereka ini puak yang gagal untuk menandingi BN atau menjatuhkan Umno.
Jangan hanya pandai beretorik berteraskan fakta-fakta teori ‘syok sendiri’ semata-mata.
Pada PRU14, sekiranya Mahathir tidak berganding bahu dengan PH sudah pasti mereka akan tewas lagi.
Sama-sama kita saksikan setakat mana PH boleh kecapi kejayaan pada PRU15 kelak tanpa penglibatan Mahathir.
Tokoh negarawan seperti Mahathir yang terlibat dalam politik sebelum tahun 1946 sehingga kini pun seolah-olah tidak sehebat Rafizi.
Inilah permasalahan dengan Rafizi yang pada hemat saya seperti ‘katak di bawah tempurung’ yang hanya mengiktiraf dirinya saja yang pandai.
Tetapi pada realitinya dia adalah tin kosong yang selalu tewas teruk dalam ramalan-ramalan politik yang tidak tepat.
Dalam erti kata yang lain Rafizi hanya bijak berpaut erat pada ego serta superiority complex yang terlalu tinggi semata-mata.
Karakter seperti Rafizi ini elok jika kita cadangkan untuk dihantar ke planet Marikh bagi dia bangunkan dunianya yang sendiri dan hidup bersendirian di sana kerana dia tidak mempunyai sifat setiakawan yang tulen.
KHAIRUDDIN ABU HASSAN adalah Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai