Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ismail: Umno usaha elak pertembungan parti dalam k'jaan di PRN Melaka

Umno akan berusaha untuk mengelak pertembungan antara parti-parti dalam kerajaan pada PRN Melaka akan datang, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail yang juga naib presiden Umno berkata Majlis Tertinggi parti itu telah memberikan mandat kepadanya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi tujuan itu.

Dia berkata sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN itu, sudah pasti ada pihak lain yang akan mendapat keuntungan atau faedah daripadanya.

“Memang mereka tunggu sahaja ingin melihat supaya parti kerajaan ini bertembung, mereka yang untung, ibarat antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 di Kuala Lumpur hari ini.

Umno sebelum ini memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 Nov hari penamaan calon dan 16 Nov tarikh undi awal.

-Bernama