Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Vigneswaran sahkan MIC letak calon di Melaka

PRN MELAKA | Presiden MIC SA Vigneswaran mengesahkan bahawa parti itu akan meletakkan calonnya dalam pilihan raya bulan depan.

Kenyataan itu dibuat selepas wujud mesej tular di media sosial yang mengatakan bahawa Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC mengambil keputusan untuk tidak bertanding di Melaka.

"Saya tidak tahu siapa yang menyebarkan berita-berita sedemikian. Itu tidak benar.

"MIC akan bertanding di PRN Melaka," katanya kepada Malaysiakini.

Difahamkan MIC akan kekal bertanding di DUN Gadek. Pada 2018 MIC gagal mempertahankan kerusi berkenaan selepas calonnya P Panirchelvam kalah kepada calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) G Saminathan dengan majoriti 307 undi.

Seorang lagi calon di situ ialah Emransyah Ismail dari PAS yang mendapat 1,865

Pada PRU lalu ada seramai 12,922 pengundi berdaftar di DUN berkenaan.

Vigneswaran berkata ketika ini MIC masih sedang mengenal pasti calon terbaik untuk dipertaruhkan di Melaka.

"Proses mengenal pasti calon masih berjalan. Kami akan umum calonnya dalam masa terdekat," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 Nov hari penamaan calon dan 16 Nov tarikh undi awal.