Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dasar kompromi PAS luar biasa, kata Tuan Ibrahim

MUKTAMAR PEMUDA PAS | Tidak ada parti yang lebih berpengalaman dalam menjalin kerjasama politik di negara ini selain PAS kata timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, sejarah menunjukkan semasa melakukan kerjasama politik, PAS ialah sebuah parti yang sanggup bertolak ansur terhadap hal-hal yang mungkin tidak boleh diterima oleh parti lain untuk dikompromi.

“Kita punya pengalaman panjang dalam politik negara, dan saya tengok tak ada parti yang ada pengalaman muafakat politik sehebat PAS.

"Kita boleh sanggup kompromi luar biasa, yang jarang orang lain sanggup kompromi sedemikian," katanya.

Memberikan contoh semasa merasmikan muktamar di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini menteri alam sekitar dan air itu berkata PAS pernah menyerahan kerusi parlimen Kuala Terengganu kepada Presiden Parti Negara, Onn Jaafar selepas pengasas Umno itu meninggalkan parti asalnya.

Kata Tuan Ibrahim lagi PAS juga pernah bekerjasama dengan pemimpin veteran Umno merangkap Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, apabila ahli politik terbabit meninggalkan Umno lalu menubuhkan Semangat 46.

“Bahkan dengan parti-parti lainlah.... Nak sebut (namanya) pun geram,” katanya.

Tiada istilah perlawanan persahabatan

Tidak seperti biasa muktamar PAS kali ini dibuat secara tertutup dan liputan media dibuat berdasarkan kepada siaran secara langsung yang disalurkan melalui media sosial.

Persidangan juga diadakan secara hibrid apabila hanya sebahagian perwakilan hadir secara fizikal manakala selebihnya terbabit melalui dalam talian.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika menyentuh soal cabaran PAS dalam politik negara termasuk hubungan mereka dengan dua parti yang bertentangan ketika ini, iaitu Umno dan Bersatu.

Katanya perjuangan PAS melangkaui soal kerusi dalam pilihan raya.

Untuk rekod sebelum ini PAS juga pernah menjalinkan hubungan dengan DAP dan PKR (dahulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional) melalui pembentukan Barisan Alternatif dari 1999 hingga 2001 sebelum DAP menarik diri.

Kerjasama parti-parti itu kembali terjalin melalui Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015, sebelum gabungan tersebut berkubur ekoran pertentangan pendapat yang ketara di antara PAS dan DAP.

Gambar fail

Sejak itu, PAS dilihat berpatah arang dengan DAP.

PAS kini menjalinkan hubungan kerjasama dengan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) - bersama parti komponen lain - dan pada masa sama mengingat piagam rasmi dengan Umno dalam Muafakat Nasional.

Namun, Bersatu dan Umno mempunyai hubungan yang kesat, meskipun bersama-sama dalam kerajaan memerintah kini.

Memetik petikan Surah al-Anfal bermaksud “walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka”- yang dipetik Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin dalam ucapannya sebelum itu, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa penyatuan bukanlah menggambarkan kelemahan.


Ahmad cadang Umno, PAS bertembung di T'ganu, Kelantan dan Kedah


Memberikan analogi bagaimana orang tetap boleh “bertumbuk” meskipun bermain dalam satu perlawanan bola sepak, kata Tuan Ibrahim, bagi PAS, tidak ada “perlawanan persahabatan” dalam politik.

Dia berkata demikian ketika memetik contoh bagaimana ada pemimpin Umno pada Mac lalu pernah mengumumkan untuk melawan PAS dalam pilihan raya umum di Terengganu.

“Saya kata (kepada rakan dalam Umno), kalau kita nak bergabung, kalau kita nak berkawan, biar kawan sepenuhnya.

“Dia kata ‘itu kita boleh anggap sebagai perlawanan persahabatan'. Saya bagitahu, tak ada perlawanan persahabatan dalam politik.

“Kita tegas bahawa, muafakat kita jauh lebih besar, bukan hanya kerangka politik dalam pilihan raya. Umat ini perlu disatukan dengan agenda besar, bukan hanya kerusi.

“Agenda besar kita ialah agenda bagaimana menyelamatkan negara kita dan dunia daripada kemurkaan Allah SWT,” katanya lagi.