PRN: Tiga sayap Umno Melaka kemuka 16 nama calon berpotensi
Tiga sayap Umno Melaka telah mengemukakan 16 nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan tertinggi Umno sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 Nov ini.
Ketua Wanita Umno Melaka Datuk Latipah Omar berkata sayap itu mengemukakan enam nama untuk diketengahkan dengan mengambil kira tiga kriteria utama digariskan parti iaitu kebolehmenangan (winnable), boleh diterima (acceptable) dan disukai atau disenangi (likeable) pengundi.
"Pemilihan nama calon dibuat Ketua Wanita di enam bahagian di negeri ini dan kami amat berharap 30 peratus wanita diberikan peluang menjadi calon PRN Melaka.
"Bagaimanapun ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Melaka berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai pemilihan calon muka baru pada PRN berkenaan.
Ahmad Zahid pada pelancaran Jentera BN PRN Melaka pada Rabu lepas dipetik sebagai berkata BN bersedia mempertaruhkan calon muka baru termasuk dari MCA dan MIC bagi bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Ketua Pemuda Umno Melaka Fairul Nizam Roslan pula berkata sayap itu telah menyerahkan tujuh nama kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan sebagai calon PRN Melaka.
“Kami tidak ambil calon paracut (payung terjun) sebaliknya calon yang dipilih adalah berdasarkan penilaian dan petunjuk prestasi utama (KPI) dan mereka diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tempat tinggal mereka.
“Calon berkenaan juga terdiri daripada ikon atau pemimpin masyarakat setempat yang berkelayakan dan dekat dengan masyarakat,” katanya yang juga Exco Pemuda Umno pusat.
Ketua Puteri Umno Melaka Nurashiqin Alias pula berkata sayap itu tidak ketinggalan mengemukakan tiga nama untuk dipilih sebagai calon yang mempunyai kriteria digariskan parti pada PRN Melaka.
"Puteri mempunyai calon yang berkelayakan dan mampu berkhidmat dengan baik walaupun Puteri masih baru dalam politik. Kami mempunyai ahli bukan sahaja di bandar tetapi di kawasan pedalaman juga.
"Kalau Umno hendak maju ke hadapan, kita perlukan orang muda untuk terus bersama dengan Umno dan BN.
"Jadi, berilah peluang kepada calon muda agar kita dapat melahirkan kepimpinan muda yang lebih baik di masa hadapan," katanya yang juga Exco Puteri Umno pusat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ini.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Melaka mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai