Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penjenamaan Gerakan Melaka guna wanita tanpa nama cetus kekecohan

Kempen media sosial Gerakan di Melaka yang sedang berlangsung menampilkan dua wanita yang identitinya sengaja dirahsiakan telah menimbulkan sedikit kekecohan di kalangan warganet kerana dikatakan tidak menghormati wanita.

Kempen itu mengandungi maklumat tentang kerja-kerja kebajikan dan klip video yang melibatkan dua wanita tersebut, yang juga berkhidmat sebagai jurucakap dalam talian Gerakan Melaka.

Kad mereka hanya memperkenalkan diri mereka sebagai 'wanita' dalam tulisan Cina ("女人") berwarna merah besar, yang juga merupakan sebahagian daripada "Pasukan Khidmat Gerakan", disertai dengan gambar wanita berkenaan dan nombor telefon mudah alih mereka.

Ketika dihubungi mengenai perhatian yang diterima dari kempen itu, Pengerusi Gerakan Melaka Michael Gan Peng Lam menjelaskan ia merupakan strategi penjenamaan jangka panjang untuk menangani isu kebajikan dan mempromosikan parti.

Dia berkata pasukan perkhidmatan Gerakan itu ditubuhkan pada Mei diikuti pasukan kedua pada Ogos untuk bertemu dengan golongan miskin dan menggunakan media sosial untuk menghubungi agensi kerajaan atau wakil-wakil rakyat.

"Kami membantu mereka yang memerlukan, namun warganet meremehkan nama kempen kami," katanya sambil menzahirkan rasa kecewa.

Gan menjelaskan dengan terus merahsiakan identiti kedua-dua wanita itu dan menjadikan mereka sebagai muka depan kempen juga adalah atas sebab praktikal.

“Katakanlah jika mereka tidak bersama dengan kita lagi, saya boleh cari wanita lain sebagai pengganti.

"Itu adalah antara sebab kami hanya menggelarkan mereka sebagai 'wanita'," katanya.

Gan berkata dia merancang untuk kempen baru yang menampilkan ‘lelaki’ tetapi rancangan itu ditangguhkan memandangkan parti itu perlu membuat persiapan untuk pilihan raya Melaka, yang berlangsung pada 20 Nov.

‘Wanita adalah nama dan jenama kami'

Dia turut menafikan kempen itu tidak menghormati wanita.

"Kami tidak boleh berbuat apa-apa jika (warganet) mengkritik kami. Mereka tidak faham rancangan dan strategi jangka panjang kami... Saya belum boleh kongsikan (rancangan itu),” katanya.

Salah seorang daripada dua wanita itu, yang hanya mahu dikenali sebagai "Cik Lee" berkata penjenamaan itu praktikal kerana kebanyakan warga emas yang mereka hubungi, mengingati mereka sebagai "wanita dari Gerakan" dan bukannya nama mereka.

"'Wanita' dalam konteks ini adalah nama dan jenama kami," kata Lee kepada Malaysiakini.

Seorang lagi wanita, yang hanya mahu dikenali sebagai "Kan", bersetuju dengan Gan dengan mengatakan bahawa strategi menggunakan “wanita" tanpa nama adalah praktikal kerana mereka akan digantikan juga akhirnya.

"Ia hanya untuk kesan penjenamaan," katanya.