Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

11 pengarah syarikat disiasat kes dana Mitra bebas dengan ikat jamin - peguam

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal mendapatkan pelanjutan reman terhadap 11 daripada 17 pengarah syarikat yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana Unit Transformasi India Malaysia (Mitra), kata peguam.

Peguam Asheeq Ali, yang mewakili salah seorang pengarah, memberitahu Malaysiakini bahawa 11 mereka dibebaskan dengan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret Putrajaya di mana SPRM telah memohon lanjutan tujuh hari untuk reman.

“Dua belas suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini dan sebelas orang dibebaskan dengan ikat jamin antara RM5,000 dan RM8,000 setiap seorang.

"Hanya seorang daripada suspek yang disambung reman selama empat hari," kata Asheeq kepada Malaysiakini.

Tambahnya, lima lagi suspek boleh dibebaskan lebih awal.

Dilaporkan pada Selasa bahawa SPRM telah menahan 17 pengarah syarikat dalam operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang.

Asheeq berkata, dia bersama peguam Harshaan Zamani, berhujah bahawa anak guam mereka sama sekali tidak terlibat dalam dakwaan penyalahgunaan dana Mitra, dalam kapasitinya sebagai penyelaras program untuk organisasi yang menerima dana itu.

“Oleh itu permohonan SPRM untuk lanjutan reman adalah tanpa merit. Anak guam kami juga mengalami masalah kesihatan yang serius.

"Memandangkan keadaan kesihatan anak guam kami dan mengambil kira kesediaannya untuk bekerjasama dengan siasatan SPRM, mahkamah telah menolak permohonan lanjutan reman dan memerintahkan anak guam kami dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin," katanya.

Bernama sebelum ini memetik sumber yang menganggarkan puluhan juta ringgit didakwa telah disalahgunakan oleh kumpulan itu melalui permohonan mereka untuk mendapatkan geran Mitra untuk menganjurkan program sosio-ekonomi untuk masyarakat India.

Siasatan kes itu dilaporkan akan meliputi semua permohonan dan perbelanjaan dana yang disalurkan Mitra sejak 2018 hingga kini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.