Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bersih: Program Gerai Prihatin Rakyat PN berisiko langgar akta pilihan raya

NGO Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) mengingatkan semua parti politik berhubung peruntukan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang berkuat kuasa di Melaka susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam kenyataan berkata, ia bertentangan dengan tanggapan ramai yang ia hanya berkuat kuasa bermula hari pertama kempen.

NGO tersebut membangkitkan siri program Gerai Prihatin Rakyat oleh Perikatan Nasional - satu inisiatif menjual barangan makanan dengan harga murah.

Siri Gerai Prihatin Rakyat yang seterusnya akan diadakan di Kampung Jus Permai, Selandar dan Pantai Klebang di Melaka pada Sabtu ini.

"Bersih 2.0 mengingatkan aktiviti sebegini adalah kesalahan pilihan raya, di mana perbuatan secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana pihak untuk memberikan makanan, minuman atau bekalan sebelum, semasa atau selepas pilihan raya dengan tujuan mendapatkan undi, di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Walaupun Gerai Prihatin Rakyat tersebut tidak memberikan makanan, minuman atau bekalan secara langsung namun mereka menjualnya dengan harga yang sangat murah dan boleh mempengaruhi pengundi secara rasuah untuk mengundi parti politik atau calon yang menyediakan khidmat sedemikian semasa tempoh pilihan raya," katanya.

Poster yang disiarkan di media sosial berkenaan program Sabtu ini menampilkan Pengerusi PN Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen bersama-sama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang dijangka melancarkannya.

Empat barangan, iaitu ubi kentang 2kg, seekor ayam, sepapan telur, dan Milo 200g, akan dijual dengan harga RM15. Hanya seorang pembeli dari satu isi rumah berpendapatan bawah RM4,000 boleh membelinya.

Menurut poster itu, jualan akan dibuat secara pandu lalu dan terhadp kepada 2,000 pembeli pertama.

Bersih memberi peringatan kepada penganjur, antaranya Rafiq, Muhyiddin dan syarikat yang membekal barangan tersebut, yang Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan penjara tidak lebih dua tahun atau denda antara RM1,000 kepada RM5,000.

"Kami menggesa semua pihak menjunjung semangat pilihan raya bersih dan adil serta semangat peruntukan akta ini untuk menghalang mana-mana pihak secara rasuah mempengaruhi pengundi untuk memilih mereka dalam pilihan raya," katanya.