Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP bidas k'jaan selepas pengeluar wiski setuju tukar nama

Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii (DAP) membidas kerajaan kerana tunduk kepada "retorik dan sentimen melampau" yang dilakukan pihak tertentu berhubung kontroversi mengenai jenama wiski tempatan, Timah.

Kritikan itu hadir selepas syarikat pengeluar wiski itu bersetuju mempertimbangkan untuk menukar nama dan imej pada label produk mereka.

“Ada banyak lagi perkara penting yang sedang dihadapi oleh negara termasuk kenaikan harga dan bagaimana rakyat di bawah menderita dari segi ekonomi.

“Tetapi sebaliknya mereka memilih untuk mengalah kepada sentimen melampau seperti itu yang menghina kebijaksanaan mana-mana lelaki atau wanita yang waras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yii menambah dia juga kecewa kerana pengumuman itu dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, yang juga merupakan pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tambahnya, isu itu ditimbulkan secara tidak sepatutnya sehingga mencetuskan kontroversi agama dan kaum.

“Ini pada dasarnya akan menetapkan duluan (precedent) berbahaya di negara kita di mana nama sesuatu produk dikatakan boleh mengelirukan mana-mana segmen masyarakat dan dengan itu mesti diubah.

"Ini akan menjadikan kita bahan ketawa masyarakat antarabangsa," kata Yii.

Yii berkata perhatian sepatutnya ditumpukan kepada isu asas seperti mendidik orang ramai terhadap bahaya meminum alkohol secara berlebihan.

Dia juga mempertahankan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras dengan menegaskan negara ini tidak boleh tunduk kepada retorik melampau dan pada masa sama berbangga dengan kesederhanaan dan masyarakat majmuk.

“Apa pun jenamanya, arak adalah haram dalam Islam, tetapi hak orang bukan Islam untuk meminumnya perlu dihormati.

“Kita adalah masyarakat berbilang kaum dan budaya kerana kita berbangga dengan kesederhanaan.

“Kita tidak boleh biarkan diri kita tunduk kepada retorik melampau sebegitu dan membenarkan ‘bukan isu’ seperti nama wiski dihebohkan, ketika Malaysia berbangga dengan kesederhanaan, serta keharmonian berbilang kaum dan budaya,” katanya.