Syed Saddiq: Adakah saya 'makan' Tun Daim, 'minum' wanita Belanda?
Susulan seorang ahli parlimen hari ini mengibaratkan meminum wiski jenama Timah seolah-olah "minum wanita Melayu", Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil berseloroh dengan jenama makanan yang menggunakan nama manusia.
“Jadi, boleh ke saya makan coklat Daim? Boleh ke saya minum susu Dutch Lady?
“Atau adakah saya 'makan' Tun Daim Zainuddin atau 'minum' perempuan Belanda,” ciapnya di Twitter disertai emoji ketawa.
Ciapan itu menyertakan video perbahasan Ahli Parlimen Tangga Batu dari PKR. Rusnah Aluai berkenaan wiski jenama Timah hari ini.
Kata Rusnah, nama Timah untuk jenama wiski adalah “benar-benar mengelirukan” ditambah pula dengan lambang Kapten Speedy yang kelihatan seperti memakai kopiah.
“Ini tidak bagus untuk wanita kerana akan dibayangkan Timah itu wanita Melayu - Kak Timah, Mak Timah, Makcik Timah. Apabila kita minum wiski itu, seolah-olah kita minum wanita Melayu,” katanya di Dewan Rakyat.
Contoh coklat Daim dan susu Dutch Lady itu turut dibangkitkan Syed Saddiq di Parlimen ketika mencelah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid yang memaklumkan bahawa pengeluar bersetuju mengkaji semula penggunaan jenama itu.
“Banyak contoh lagi. Kawan luar negara hantar kepada saya sebab dah tular di luar negara, ada juga minuman yang berkait rapat dengan nama seseorang presiden parti Islam.
“Adakah itu juga akan ditukar? Saya berharap apa pun pendirian kerajaan, perkara ini harus diperjelaskan supaya kes-kes lain tidak timbul kerana isu salah faham," katanya.
Arak jenama Timah keluaran tempatan itu mengundang kontroversi sejak beberapa minggu lalu ekoran sesetengah pihak memandang nama Timah itu sebagai kependekan kepada nama puteri Nabi Muhammad, Fatimah.
Kalangan yang mengkritik turut mempersoalkan imej lelaki berkopiah dan berjanggut panjang pada label wiski.
Bagaimanapun, syarikat pengeluar arak itu menjelaskan bahawa jenama Timah merujuk kepada bijih timah yang banyak terdapat dengan negara ini suatu ketika dahulu, manakala imej lelaki itu pula ialah Kapten Speedy, yang dikatakan sebagai individu yang memperkenalkan budaya minuman berkenaan pada era pentadbiran British.
Ramai juga pengguna Twitter yang turut serta berseloroh bersama Syed Saddiq dalam isu berkenaan.
“Seluruh populasi Malaysia pernah makan Ramly,” kata seorang individu yang membalas ciapan Syed Saddiq, dipercayai merujuk jenama burger Ramly.
“Hot dog macam mana? Berapa banyak anjing aku dah makan?” soal seorang lagi.
Antara nama lain yang dikaitkan ialah minuman kacip Fatimah dan tongkat Ali.
“Samalah dengan jajan Mamee, dia seakan memakan mummy (emak) sendiri," seorang lagi pengguna Twitter.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai