Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP: Saya labur di luar pesisir ketika pasaran di Malaysia tak selamat

Ahli Parlimen Selayang dari PKR, William Leong menafikan dia cuba lari daripada cukai apabila menyimpan dana di luar pesisir, seperti yang disebut dalam Kertas Pandora.

Leong sebaliknya berkata, dia memilih untuk melabur di luar negara sebagai pilihan yang lebih selamat berbanding pasaran dalam negara pada era 1990-an.

"Pada 1994, saya perlu tanya diri sendiri, di mana saya akan simpan wang saya selepas bayar cukai di Malaysia dan Filipina?

"Anak lelaki saya empat tahun baru masuk tadika, langkah pertama dalam perjalanan panjang ke universiti. Saya tahu anak saya tak bodoh, tapi dia tak akan dapat masuk universiti awam di Malaysia," katanya kita forum dalam talian berkenaan Kertas Pandora yang dianjurkan NGO Pusat Melawan Rasuah dan Kronisme (C4) semalam.

Leong merupakan ketua pegawai operasi (COO) di Philippines National Steel Corporation pada 1994 hingga 1997.

Pada masa lalu, universiti awam di Malaysia mengamalkan kuota berdasarkan kaum dalam pengambilannya. Ia kemudian dimansuhkan setelah kerajaan kian bimbang dengan masalah 'brain drain' di kalangan warga bukan bumiputera.

Leong berkata lagi, dia perlu pastikan ada wang yang cukup untuk anaknya melanjutkan pelajaran di universiti swasta.

"Adakah saya akan laburkan duit saya di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 1994? Papan utama bursa lebih spekulatif daripada kasino," katanya lagi.

Dia mendakwa kebanyakan kaunter di pasaran tempatan pada masa itu sangat tidak stabil dan tanpa pengawalan yang wajar daripada pihak berkuasa, justeru memerlukan pilihan yang lebih selamat.

Katanya lagi, pilihan pelaburan lain di Malaysia juga tidak selamat, dengan gelembung hartanah pada masa itu.

Pihak berkuasa di Malaysia gagal menjaga piawaian dan regulasi, dakwanya lagi.

"Bolehkah saya buat pelaburan dan harap kerajaan akan bail out saya bila bank-bank ini jatuh? Itulah sebabnya saya letak wang saya di luar pesisir," katanya lagi.

Dia berkata, masalah dengan pengelakan cukai bukan undang-undang, kerana ia sudah pun ada.

Katanya lagi, Kertas Pandora adalah usaha daripada kuasa Barat, terutama Amerika Syarikat, ke arah globalisasi.

Ia akan memberi kesan buruk kepada negara yang tidak kaya dengan sumber asli dan menawarkan cukai yang rendah untuk menarik pelabur asing, katanya lagi.

Leong percaya Kertas Pandora adalah sebahagian daripada langkah oleh negara-negara kuasa besar untuk memberi tekanan kepada negara lain agar menandatangani persetujuan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) berkenaan percukaian.

Sebagai hujah, dia berkata Kertas Pandora didedahkan pada 3 Oktober - lima hari sebelum persetujuan itu ditandatangani pada 8 Oktober.

"Adakah anda lihat hubung kait dua perkara ini?

"Kita perlu faham yang tiada siapa yang menolong kita (doing us a favour), agak jelas mereka hanya tolong diri sendiri," katanya lagi.

Ditandatangani 136 negara, persetujuan itu menjamin syarikat multinasional akan dikenakan kadar cukai sekurang-kurangnya 15 peratus bermula 2023.

[Baca berita asal]