Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pilihan raya Melaka berat sebelah - Bersih

Bersih 2.0 menolak larangan penuh berkempen melalui perhimpunan fizikal dan aktiviti sosial dalam pilihan raya negeri Melaka bulan depan.

Jawatankuasa pemandunya berkata larangan sebegitu adalah penindasan kepada hak calon untuk berkempen dan hak pengundi untuk membuat keputusan bermaklumat.

Malah, kata mereka, ia tidak selari dengan standard operasi piawai (SOP) di Melaka yang sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam fasa itu, kata Bersih, aktiviti sosial dan ziarah dibenarkan, dengan had 50 peratus kapasiti ruang dan pematuhan penjarakan fizikal.

“Arahan menteri kesihatan adalah tidak konsisten dengan garis panduan PPN kerana ia mensasarkan kepada aktiviti berkaitan pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Bersih berkata larangan itu merugikan calon bukan kerajaan susulan kecenderungan media kerajaan melaporkan aktiviti dan pencapaian calon kerajaan serta menonjolkan kegagalan pembangkang.

“Ini tentunya menjadikan perlawanan berat sebelah dan mengurangkan kesahan sebarang keputusan pilihan raya nanti,” katanya.