Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat yang baru ditangguh lagi

Undian untuk Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru ditangguh lagi ke sidang Parlimen yang seterusnya.

Ia pada mulanya dijadual dilaksanakan pada sidang hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan usul penangguhan selepas sesi soal jawab sebentar tadi.

Tiada sebab diberikan berhubung penangguhan itu. Usul kemudian diluluskan menerusi undi suara.

Pemilihan untuk Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru sudah pun ditangguhkan sebelum ini, ketika sidang Dewan Rakyat pada bulan lalu.

Ketika itu, Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming masing-masing menjadi calon kerajaan dan pembangkang untuk jawatan itu.

Sebelum ini, kerajaan berkata pemilihan itu diangguhkan untuk pindaan perlembagaan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketiga.

Namun, kelihatan Ahmad - yang berdepan pertuduhan pengubahan wang haram pada masa itu - akan tewas dalam undian.

Ia selepas Bersatu, yang memegang 31 kerusi Parlimen, membayangkan mereka tidak akan mengundi Ahmad.

Ahmad kemudian menarik diri sebagai calon dan digantikan dengan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.