Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Agenda utama Dewan Rakyat: Timbalan speaker baru, pembatalan darurat

Dewan Rakyat akan bersidang untuk mesyuarat kedua bermula esok. Dua agenda utama pada sidang parlimen kali ini, iaitu pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baru, serta pembatalan ordinan darurat.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, urusan pertama selepas Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sebelah pagi, adalah memilih Timbalan Yang di-Pertua, diikuti dengan perbahasan untuk “mengungkaikan” ordinan-ordinan darurat.

Kedua-dua usul itu sebelum ini ditangguhkan kerana kontroversi yang timbul.

Pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat sepatutnya dibuat pada sidang lalu, yang berlangsung dari 13 September hingga 12 Oktober.

Bagaimanapun, ia ditangguhkan selepas calon tunggal kerajaan, Setiausaha Agung Umno dan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan - yang berdepan tuduhan pengubahan wang haram sebelum dilepaskan dengan kompaun RM1.1 juta - nampaknya bakal tewas.

Bersatu memberi isyarat untuk tidak mengundi Ahmad, yang akan menyebabkan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mempunyai sokongan 114 daripada 220 ahli parlimen termasuk daripada Bersatu, akan kekurangan undi. Bersatu mempunyai 31 ahli parlimen.

Ahmad kemudian menarik diri dan Umno menamakan calon baru - Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor - yang jika dipilih, akan menjadi Orang Asli pertama menjadi timbalan speaker. Pesaingnya daripada pembangkang ialah Ahli Parlimen Teluk Intan dari DAP, Nga Kor Ming.

Sementara itu, pembatalan ordinan darurat juga lama tertangguh, sejak Julai.

Darurat yang bertujuan membendung pandemik Covid-19, diisytiharkan pada Januari dan luput pada Ogos.

Pemansuhan ordinan darurat telah mencemarkan hujung pentadbiran Muhyiddin Yassin selepas kerajaan berdepan konflik dengan Istana Negara, berhubung pembatalan darurat yang diisytiharkan pada Januari bagi membendung Covid-19.

Pada Julai, Yang di-Pertuan Agong enggan memberikan perkenan terhadap pembatalan darurat, sebaliknya baginda mahu perkara itu dibahaskan di parlimen.

Perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin, yang berdepan ketidakpastian majoriti di Dewan Rakyat, menolak sebarang undian dilakukan di Dewan Rakyat.

Muhyiddin meletak jawatan selaku perdana menteri pada 16 Ogos.

Penggantinya Ismail Sabri Yaakob kini akur pada hasrat Yang di-Pertuan Agong agar pembatalan ordinan darurat dibahaskan.

Sekiranya kerajaan tidak mengubah Aturan Urusan Mesyuarat, pemilihan timbalan speaker baru akan bermula sekitar tengah hari.

Pada kebiasaannya, proses itu hanya akan memakan masa yang singkat, diikuti perbahasan terhadap pembatalan ordinan darurat.

Persidangan kedua mesyuarat Dewan Rakyat tahun ini akan berlangsung dari 25 Oktober hingga 26 Disember. Dalam sidang ini juga, Belanjawan 2022 akan dibentangkan.