Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GPS tanding semua kerusi pada PRN Sarawak

Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di semua 82 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha agungnya Alexander Nanta Linggi juga menafikan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dengan Bersatu.

“Saya ingin menegaskan, tiada rundingan sedemikian pernah atau akan diadakan. Malah, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi di DUN Sarawak pada PRN yang akan datang.

“Justeru, saya ingin membetulkan mesej salah yang dilaporkan dalam beberapa media yang membuat laporan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan media yang mendakwa Nanta telah mengesahkan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dan Bersatu bagi menghadapi PRN Sarawak.

Bersatu menduduki satu kerusi DUN Sarawak menerusi Adun Krian, Ali Biju yang memenangi kerusi berkenaan sebagai calon PKR dalam PRN ke-11 sebelum menyertai Bersatu.

-Bernama