'Jangan tunggu negara luar buat sekatan baru nak tangani isu buruh paksa'
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy membidas Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang menurutnya hanya mengambil tindakan terhadap amalan buruh paksa di negara ini apabila terdapat campur tangan asing.
Menurut Ramasamy, Kementerian Sumber Manusia seolah-olah lebih responsif terhadap faktor luar berbanding benar-benar berminat untuk membanteras amalan buruh paksa di Malaysia.
Ahli parlimen DAP itu mendakwa kerajaan hanya bertindak setelah sejumlah syarikat pengeluar sarung tangan tempatan dikenakan larangan eksport oleh Amerika Syarikat.
“Saravanan tiba-tiba menyedari bahawa ada masalah buruh paksa di negara ini.
"Saravanan harus sedar bahawa amalan buruh paksa dalam pelbagai bentuk ada di semua sektor, terutama di sektor pengeksportan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia menyifatkan pekerja di kilang sarung tangan “bernasib baik” kerana negara yang mengimport sarung tangan dapat menyuarakan pandangan dan penambah baikan berhubung situasi kerja di sektor itu.
"(Tetapi) Bagaimana dengan kilang-kilang yang menghasilkan barang untuk penggunaan tempatan?" soalnya.
Kenyataan Ramasamy susulan pelancaran Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa oleh Saravanan yang akan bermula bulan depan.
Ia selepas pengeluar sarung tangan Supermax Corp dikenakan sekatan import oleh AS, berikutan dakwaan terdapat amalan buruh paksa di syarikat itu dan anak syarikatnya.
Julai lalu, pesaing Supermax Malaysia yang lebih besar, Top Glove - pembuat sarung tangan getah terbesar di dunia - dikenakan sekatan eksport oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) atas dakwaan serupa, tetapi sekatan itu ditarik semula bulan lalu setelah syarikat itu menyelesaikan masalah isu buruh paksa.
Pengeluar minyak sawit Sime Darby Plantation dan FGV Holdings juga telah disekat oleh CBP pada tahun lepas kerana dakwaan sama.
Kurangnya keazaman politik
Ramasamy juga mempersoalkan kurangnya keazaman politik daripada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap amalan tersebut.
“Adakah Saravanan sanggup mengakui kerajaan tidak mempunyai keazaman politik untuk menghukum majikan, sama ada (kesalahan) besar atau kecil, kerana melanggar undang-undang buruh di negara ini?
“Mengapa agensi penguatkuasa enggan menentang majikan yang bermaharajalela, terutama mereka dalam sektor eksport?” soalnya lagi.
Ramasamy mendakwa walaupun ada "banyak undang-undang buruh" yang dilengkapi dengan mekanisme peraturan lain untuk menghapuskan amalan buruh paksa, kerajaan dilihat tetap keberatan untuk bertindak terhadap mereka yang mengamalkannya.
Dia turut meminta Saravanan menjelaskan kepada orang ramai tentang bagaimana masalah berterusan itu boleh diselesaikan, memandangkan Malaysia merupakan ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai