Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH gesa SPRM siasat kenapa projek paip dihidupkan semula

Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat alasan Putrajaya menghidupkan semula projek Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) pada masa sama menghentikan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur.

"SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek TSGP dan MPP yang telah gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional di bawah pimpinan mantan perdana menteri Muhyiddin Yassin," kata majlis presiden PH dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh pemimpin parti gabungan Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP), dan Wilfred Madius Tangau (Upko).

Projek saluran paip TSGP dan MPP telah dimansuhkan pada 2018 ketika PH memerintah.

Pembinaan TSGP dan MPP telah dipersetujui oleh pentadbiran BN sebelumnya, yang memberikan projek tersebut kepada Biro Paip Petroleum China pada bulan November 2016.

Projek itu dilaksanakan oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER) - anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada tahun 2016 dengan tujuan tunggal untuk mengawasi pelaksanaan TSGP dan MPP.

TSGP sejauh 662km itu akan menjangkau dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau. Sementara itu, MPP sepanjang 600km akan menghubungkan pelbagai projek petrokimia di Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah.

Sebanyak RM8.3bilion - 88 peratus daripada kos pembinaan - telah dibayar untuk kedua-dua projek tersebut, walaupun hanya 13 peratus kerja yang disiapkan.

SSER sebelum ini didenda kerana gagal mematuhi syarat Bank Negara berhubung projek saluran paip itu pada 2019.

Baru-baru ini didedahkan bahawa Muhyiddin secara menghidupkan semula kedua-dua projek itu pada Februari secara senyap-senyap.

Sementara itu, PH turut menggesa SPRM menggiatkan usaha menyiasat Kertas Pandora.

Kertas Pandora telah membocorkan dokumen milik firma perkhidmatan kewangan yang memudahkan golongan kaya dalam menubuhkan dan mengurus entiti luar pesisir.

Dokumen tersebut dikeluarkan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Memiliki entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang tetapi ia berpotensi disalahgunakan untuk menyembunyikan kekayaan di luar negara atau digunakan untuk pengelakan cukai.

Antara individu berprofil tinggi yang dinamakan dalam Kertas Pandora ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Selayang dari PKR William Leong.

Mereka semua telah menafikan melakukan kesalahan dan mempertahankan bahawa entiti tersebut digunakan untuk tujuan yang sah.