Pelabur Eropah beri komitmen labur RM14.1 bilion di M'sia - Miti
Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Eropah dari 13 hingga 21 Okt, 2021, yang diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah membuahkan hasil yang menggalakkan, dengan pelabur Eropah memberi komitmen yang kukuh untuk melabur sejumlah RM14.1 bilion di Malaysia.
Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam kenyataan, potensi pelaburan langsung asing (FDI) dari Jerman sebanyak RM10.7 bilion manakala potensi FDI dari Perancis dan United Kingdom, masing-masing sebanyak RM2.6 bilion dan RM800 juta.
“Pada masa sama, nilai eksport produk Malaysia bernilai RM400 juta (RM50 juta ke Jerman, RM300 juta ke Perancis dan RM50 juta ke United Kingdom) dijangka direalisasikan pada tahun-tahun akan datang,” menurut Miti.
Katanya usaha transformasi ekonomi Malaysia terutamanya dalam memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) diterima dengan baik oleh komuniti perniagaan Eropah.
Pengiktirafan terhadap penekanan baru Malaysia mengenai agenda kemampanan yang dilihat sepanjang misi ini mengesahkan keyakinan berterusan pelabur dan pengimport Eropah terhadap Malaysia, sebagai destinasi perniagaan pilihan dan pintu masuk strategik kepada perniagaan Eropah untuk meneroka lebih jauh ke rantau Asia Tenggara dan pasaran Asia Pasifik yang lebih besar.
Sepanjang TIM, Mohamed Azmin berkongsi mengenai visi Malaysia dalam agenda mampan, terutamanya sasaran Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau karbon sifar bersih paling awal menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
“Berdasarkan pelbagai peluang dalam teknologi hijau Malaysia dan sektor mobiliti hijau serta dalam industri lain yang bernilai tinggi, perniagaan dan pelabur Eropah berharap dapat meningkatkan penyertaan dalam bidang penting itu yang menjadi antara tumpuan utama dalam aspirasi pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.
Dalam pertemuan dengan delegasi United Kingdom, kementerian turut mengenal pasti peluang kerjasama dalam bidang Industri 4.0, tenaga boleh baru dan kemampanan serta memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) untuk mengembangkan lagi kedudukan mereka di rantau ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai