Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN Melaka: Idris kurang percaya strategi 'poster boy'

Bekas Adun Sungai Udang Idris Haron tidak begitu yakin pada pendekatan ‘budak poster’ (poster boy) sebagai langkah berkesan dalam kempen dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Merujuk kepada strategi mengangkat individu tertentu sebagai watak utama untuk mewakili sesebuah parti dalam kempen, Idris berkata, berdasarkan pengalaman dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, ‘budak poster’ BN akhirnya menjadi punca kekalahan teruk gabungan itu dalam pada 2018.

“Saya kurang percaya kepada poster boy ini, kerana kalau kita mempunyai pengalaman dalam PRU dulu, poster boy inilah yang menyebabkan kekalahan teruk kepada BN.

Poster boy ini maknanya, orang yang menjadi perdana menteri (pada ketika) itulah yang menjadi kekalahan teruk (BN) di seluruh negara pada ketika itu,” kata bekas ketua menteri itu dalam rancangan bual bicara Pentas Dinamika, yang disiarkan menerusi laman sosial dan Youtube TV Dinamika semalam.

Turut menjadi panel, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari yang juga bekas ketua menteri dan sekali lagi menjadi calon untuk jawatan tersebut pada PRN nanti.

Dia mengulas cadangan moderator bahawa pada PRN yang akan berlangsung 20 Nov nanti rakyat harus melihat "gambaran yang lebih luas" dan tidak hanya membuat penilaian yang berasaskan politik kepartian.

Meskipun tidak menyebut nama, kenyataan itu jelas merujuk kepada Najib Razak yang merupakan perdana menteri, pengerusi BN dan presiden Umno pada ketika itu.

Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB dikatakan menyebabkan imej Umno dan BN terjejas teruk dalam kalangan pengundi, sekali gus menyaksikan tumbangnya kerajaan BN buat julung-julung kalinya dalam sejarah negara.

Serah diri untuk menyumbang

Najib didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd - yang merupakan anak syarikat 1MDB - dan kini dalam proses rayuan.

Pada 3 Oktober, Idris bersama tiga bekas Adun lain menarik sokongan mereka kepada kerajaan BN-PN di bawah kepemimpinan bekas ketua menteri, Sulaiman Md Ali.

Tiga Adun itu ialah Norhizam Hassan Baktee (bekas Adun Pengkalan Batu bebas), Nor Azman Hassan (bekas Adun Pantai Kundor dari Umno), dan Noor Effandi Ahmad (bekas Adun Telok Mas dari Bersatu).

Susulan itu, Idris, Azman dan Effandi dipecat dari parti masing-masing.

Mereka pada mulanya mahu membentuk kerajaan baru bersama PH, namun DUN Melaka dibubarkan selepas Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam menerima cadangan dikemukakan Sulaiman, membuka laluan untuk pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Sebelum ini, Idris memberikan bayangan untuk bertanding pada PRN Melaka atas tiket PH. 

Ketika disoal moderator semalam, Idris sekali lagi berkata dia menyerahkan kepada pertimbangan PH untuk menentukannya, namun menyatakan kesediaan jika diberikan tanggungjawab berkenaan.

“Wallahua'lam. Pada ketika ini, saya belum lagi mendapat sebarang isyarat yang saya akan bertanding.

“Saya ini the new kid on the block (budak baru dalam kalangan pembangkang). Saya pun dah bagitahu pada Adly, tak payah beri ulasan banyak-banyak (tentang kedudukan saya).

“Kalau rasa ada keperluan untuk saya bertanding, saya serahkan diri saya untuk menyumbang. Kalau rasa tak ada keperluan, apa yang saya nak lakukan? Dah adat.

“Tetapi, sekurang-kurangnya saya akan teruskan dengan idealisme perjuangan saya," katanya lagi.

Kelmarin, PH telah bersetuju untuk tidak akan menamakan Norhizam sebagai salah seorang calon mereka dalam PRN yang akan diadakan 20 November depan.